SHAH ALAM, 3 JUN: Selangor terus memperluas jaringan kerjasama antarabangsa apabila meneroka peluang strategik bersama Wilayah Fergana, Uzbekistan dalam pelbagai sektor berpotensi tinggi termasuk teknologi, keselamatan makanan, pengurusan air dan pembangunan industri.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Gabenor Wilayah Fergana, Hayrullo Khayitbayevich Bazarov yang kini dalam lawatan rasmi ke Malaysia.
Menurut beliau, pertemuan tersebut membuka ruang kepada kerjasama yang lebih praktikal dan saling menguntungkan menerusi pendekatan wilayah ke wilayah, sekali gus berpotensi merancakkan perdagangan, pelaburan dan pembangunan ekonomi kedua-dua pihak.
“Selangor berkongsi kekuatan sebagai peneraju ekonomi negara termasuk dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi, ekosistem semikonduktor, industri halal, aeroangkasa, sains hayat, pusat data dan ekonomi digital.
“Kedua-dua pihak turut meneroka peluang kerjasama dalam penyelidikan dan pembangunan khususnya industri berteraskan teknologi yang mampu memanfaatkan kekuatan masing-masing,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Selain sektor teknologi, aspek keselamatan makanan dan agroindustri turut menjadi antara tumpuan utama perbincangan apabila Fergana menyatakan minat untuk memperluaskan eksport produk pertanian ke Malaysia.
Amirudin berkata kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh rangkaian logistik serta menangani cabaran rantaian bekalan bagi memudahkan aliran perdagangan dan pelaburan antara Asia Tengah dan Asia Tenggara.
Dalam pada itu, beliau berkata kerjasama dalam bidang pengurusan air dan kelestarian alam sekitar turut dibincangkan, dengan Selangor menyatakan kesediaan berkongsi pengalaman dalam tadbir urus serta pembangunan infrastruktur air menerusi pertukaran kepakaran teknikal.
Menurutnya, kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan perbincangan lanjut serta memudah cara lawatan balas melibatkan agensi kerajaan dan pemain industri dalam tempoh beberapa bulan akan datang bagi mengenal pasti bidang kerjasama yang boleh direalisasikan.
Pertemuan itu turut mencerminkan hubungan yang semakin erat apabila Amirudin menerima hadiah istimewa berupa doppi dan chopon, pakaian tradisional yang mempunyai nilai budaya tinggi di Uzbekistan sebagai simbol persahabatan antara Selangor dan Fergana.











