SHAH ALAM, 31 JAN: Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya kembali dianjurkan bermula pada 8 Februari ini di Taman Tasik Serdang, Seri Kembangan.
Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menerusi kenyataan memaklumkan lokasi itu dipilih memandangkan demografi populasi pelbagai kaum selain dilengkapi persekitaran kondusif.
“Lebih 20 aktiviti direncanakan kepada pengunjung antaranya larian, kayuhan santai, pertandingan mewarna, sukan rakyat, fiesta sarapan pagi, pemeriksaan kesihatan percuma serta pameran.
“Justeru, MBSJ menjemput penduduk sekitar hadir beramai-ramai bagi memeriahkan dan bersama memelihara tenaga serta sumber sekali gus mengurangkan penggunaan kenderaan atas jalan raya,” katanya.
[caption id="attachment_591937" align="alignnone" width="902"] Peserta cilik menyertai kejohanan Run Bike Subang Jaya dalam program Hari Tanpa Kenderaan Subang Jaya di Jalan SS16/1 pada 9 Julai 2023. Foto Ihsan MBSJ[/caption]
MBSJ menjelaskan penganjuran program sepanjang tahun ini membabitkan lokasi di South City Plaza, Seri Kembangan pada 11 Mei diikuti Giant Bandar Kinrara (10 Ogos) dan Ibu Pejabat MBSJ (26 Oktober).
“Program ini mula diperkenal pada 2022 dan diadakan setiap bulan di Jalan Kemajuan Subang, SS16, Subang Jaya.
“Namun, pada 2024 ia diubah kepada empat kali setahun dan diteruskan lagi tahun ini sebagai satu usaha MBSJ merealisasikan Subang Jaya sebagai bandar raya rendah karbon,” katanya.