ad
BERITA UTAMA

Semua anak GISBH dipulang kepada keluarga dalam masa terdekat

30 Jan 2025, 5:00 AM
Semua anak GISBH dipulang kepada keluarga dalam masa terdekat
Semua anak GISBH dipulang kepada keluarga dalam masa terdekat

SHAH ALAM, 30 JAN: Semua kanak-kanak Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) yang ditempatkan di rumah perlindungan di Selangor akan pulang ke pangkuan keluarga masing-masing.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata proses itu dijangka selesai selewat-lewatnya awal bulan depan berikutan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) tidak memohon lanjutan tempoh perlindungan hak jagaan sementara (IPO).

“Setakat prosiding mahkamah pada Jumaat lalu, baki yang masih belum dipulangkan adalah empat kanak-kanak. Mereka menunggu tarikh baru bagi sebutan kes.

“Kita akan cuba selesaikan proses pemulangan kepada keluarga masing-masing secepat mungkin,” katanya kepada Media Selangor.

[caption id="attachment_671341" align="alignnone" width="866"] Sebahagian daripada 29 individu yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) direman untuk membantu siasatan pada 22 September 2024. Foto BERNAMA[/caption]

Dalam pada itu, Anfaal berharap waris kanak-kanak terbabit dapat mematuhi setiap syarat yang ditetapkan JKM bagi memastikan mereka sentiasa dalam keadaan baik dan terpelihara.

“Ibu bapa dan penjaga harus patuh syarat yang ditetapkan oleh JKM supaya kebajikan dan perkembangan anak-anak ini terjaga. Kita akan sentiasa pantau mereka,” katanya.

Minggu lalu, Anfaal memaklumkan kanak-kanak yang diselamatkan dari premis jagaan GISBH dipulangkan ke pangkuan keluarga masing-masing secara berperingkat.

Menurutnya, semua kanak-kanak dipulangkan kepada ibu bapa dengan syarat bon tanpa cagaran sebanyak RM500 dimana ia perlu dipatuhi dalam tempoh setahun atau sehingga kanak-kanak tersebut berumur 18 tahun.

Sebelum ini, JKM dilapor berhasrat memohon kebenaran mahkamah bagi melanjutkan penjagaan sebahagian anak-anak GISBH susulan tempoh IPO yang berakhir hujung bulan ini.

Pada 10 September tahun lalu, polis menyerbu 20 premis GISBH di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan selepas mengesyaki kumpulan itu melakukan kesalahan dalam kegiatan pemerdagangan orang dan kesalahan lain.

Dalam Op Global itu, seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan selain dipercayai menjadi mangsa eksploitasi, pengabaian dan penganiayaan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.