ad
PBT

MPAJ keluar 14 kompaun langgar peraturan cegah denggi

26 Jan 2025, 9:11 AM
MPAJ keluar 14 kompaun langgar peraturan cegah denggi
MPAJ keluar 14 kompaun langgar peraturan cegah denggi

SHAH ALAM, 26 JAN: Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengeluarkan 14 kompaun atas pelbagai kesalahan melanggar peraturan berkaitan pencegahan denggi.

MPAJ memaklumkan kompaun dikeluarkan dalam Operasi Lorong Belakang Bebas Aedes (Lobba) dan Operasi Zero Larva (Ozel) di Taman Muda, Ampang, semalam.

“Lapan kompaun denggi dikeluarkan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 atas kesalahan mengikut Seksyen 74 iaitu membiarkan premis dalam keadaan kotor (pembiakan jentik-jentik).

“Tiga kompaun di bawah Akta Undang-Undang Kecil 19 (1) (d) Establisymen Makanan kerana menumpahkan cecair kotor terus ke longkang manakala dua kompaun di bawah Akta Undang-Undang Kecil 34(2), Establisymen Makanan kerana tiada kawalan serangga perosak

“Satu kompaun dikeluarkan di bawah Seksyen 74, Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana bangunan berkeadaan kotor selain tiga pemilik premis tidak mempunyai lesen perniagaan diberi notis oleh Jabatan Perlesenan dan Pembangunan Usahawan MPAJ,” katanya di Facebook.

Menurut MPAJ, operasi itu diadakan bagi melaksanakan aktiviti larvaciding, pemeriksaan tempat pembiakan serta cari dan musnah meliputi membersih, menghapuskan tempat pembiakan nyamuk di lorong belakang dan sekitar lokasi.

[caption id="attachment_683968" align="aligncenter" width="1216"] Penguat kuasa Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menjalankan Operasi Lorong Belakang Bebas Aedes (Lobba) dan Operasi Zero Larva (Ozel) di Taman Muda, Ampang pada 25 Januari 2025. Foto Facebook Majlis Perbandaran Ampang Jaya - Rasmi[/caption]

“Hasil operasi mendapati 246 tempat pembiakan dan sembilan lokasi dikenal pasti menjadi tempat pembiakan nyamuk selain terdapat barangan masakan dan bekas disimpan di belakang premis berpotensi menjadi tempat pembiakan serangga itu.

“Beberapa premis makanan turut dapati tidak bersih dan boleh menyebabkan pencemaran,” katanya.

Susulan itu, pemilik premis makanan diingatkan untuk menjaga kebersihan di dalam dan luar premis agar bebas daripada kacau ganggu haiwan perosak dan penularan wabak penyakit.

Pada 6 Januari lalu, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dilapor berkata terdapat 22 lokaliti aktif denggi dikenalpasti pada Minggu Epidemiologi ke-52 (ME52) berbanding 18 lokaliti pada minggu sebelumnya.

Daripada 22 lokaliti itu, sebanyak 12 lokaliti di Selangor, lima lokaliti di Negeri Sembilan, tiga lokaliti di Kuala Lumpur dan Putrajaya, serta satu lokaliti masing-masing di Pahang dan Pulau Pinang.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.