ad
AGENDA

Rakyat Malaysia dilantik sebagai pakar di Pertubuhan Larangan Senjata Kimia

31 Dis 2024, 12:00 PM
Rakyat Malaysia dilantik sebagai pakar di Pertubuhan Larangan Senjata Kimia

PUTRAJAYA, 31 DIS: Kementerian Luar Negeri mengumumkan pelantikan seorang rakyat Malaysia, Dr Raja Subramaniam sebagai Pakar dalam Scientific Advisory Board (SAB) bagi Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW).

Kementerian yang turut dikenali sebagai Wisma Putra memaklumkan Dr Raja merupakan seorang daripada tujuh pakar dari rantau Asia dalam SAB.

“Dr Raja akan memulakan perkhidmatan beliau sebagai Pakar SAB bermula 1 Jan 2025 hingga 31 Dis 2027,” menurut kementerian dalam satu kenyataan Selasa.

Kementerian turut merakamkan penghargaan kepada ketua pengarah OPCW dan masyarakat antarabangsa atas kepercayaan mereka terhadap komitmen Malaysia dalam usaha global ke arah penghapusan senjata kimia.

SAB terdiri daripada 25 orang pakar dari kalangan Negara Anggota OPCW, yang berkhidmat atas kapasiti peribadi dalam memberikan nasihat khusus kepada Ketua Pengarah OPCW yang berpusat di The Hague, mengenai perkembangan saintifik dan teknologi yang berkaitan dengan pelaksanaan Konvensyen Senjata Kimia di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

SAB bersidang setahun sekali atau mengikut keperluan seperti yang dikehendaki oleh Ketua Pengarah OPCW, menurut Wisma Putra.

Dr Raja mempunyai lebih 23 tahun kepakaran khusus dalam hal berkaitan senjata kimia.

Beliau memiliki Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Analisis Senjata Kimia daripada National Swedish Chemical, Biological, Radioactive and Nuclear (CBRN) Defence Research.

Beliau kini sedang berkhidmat sebagai Setiausaha Bahagian Pihak Berkuasa Kebangsaan Konvensyen Senjata Kimia (PBKKSK) di Kementerian Luar Negeri untuk penggal kedua, menurut kenyataan itu.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.