ad
AGENDA

Monsun barat daya dijangka tidak berisiko tinggi pada kebakaran hutan

31 Jul 2025, 12:34 PM
Monsun barat daya dijangka tidak berisiko tinggi pada kebakaran hutan

SEREMBAN, 31 JULAI: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjangkakan musim Monsun Barat Daya yang sedang melanda negara tidak memberikan risiko tinggi terhadap kebakaran hutan dan belukar, setakat ini.

Ketua Pengarah JBPM Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata berdasarkan statistik, penerimaan panggilan akibat kebakaran diterima jabatan itu pada tahun ini menunjukkan pengurangan sebanyak 50 peratus berbanding tahun lepas.

“Ia drastik (kejadian kebakaran hutan) tetapi tempat tertentu sahaja, dua tiga hari lepas di Sarawak iaitu kawasan Miri dan Mukah, itu yang kita berikan tumpuan kerana melibatkan kawasan kebakaran yang besar.

“Jadi kita nasihatkan orang ramai jangan buat pembakaran terbuka... kita kena kena simpati dan sewajarnya kita tak tambah (kes kebakaran) yang sedia ada,” katanya selepas Program Kempen Keselamatan Aktiviti Air Sempena Hari Pencegahan Lemas Sedunia, yang dirasmikan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Aiman Athirah Sabu di sini hari ini.

Dalam pada itu, Nor Hisham berkata perbuatan manusia merupakan punca utama kebakaran hutan atau belukar berbanding faktor semula jadi yang dilihat sangat minimum berdasarkan keadaan cuaca dan kadar kelembapan.

“Ia sama ada sengaja atau tidak sengaja (faktor manusia), contohnya nak bakar kebun kemudian merebak dan sebagainya,” katanya.

Nor Hisham sebelum ini dilaporkan berkata 7,223 kes kebakaran direkodkan di seluruh negara bagi tempoh 1 Jan hingga 20 Julai lepas, membabitkan kebakaran kebun atau ladang, hutan, belukar dan sampah.

Kebakaran belukar atau lalang mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 4,733 kes diikuti kebakaran sampah (1,662), hutan (537) dan kebun atau ladang (291).

Selangor merekodkan jumlah tertinggi dengan 1,364 kes diikuti Perak (938), Johor (831), Kedah (662), Kuala Lumpur (113) dan Labuan (44) manakala Putrajaya mencatatkan jumlah terendah dengan lapan kes

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.