Oleh Zareef Muzammil & Abdul Rahim Sabri
KAHERAH, 7 NOV: Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melawat penempatan pelajar Selangor di Hayyu Asyir Nasr City, yang terletak kira-kira 18 kilometer dari sini, semalam.
Pemimpin negeri yang tiba bersama Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad disambut Atase Pendidikan Negeri Selangor (Timur Tengah) Muhammad Zulhusni Abdul Rashid.
Sepanjang lawatan hampir setengah jam, Amirudin diberi penerangan berhubung keadaan semasa bangunan asrama Selangor setinggi enam tingkat yang kini menempatkan seramai 130 pelajar lelaki dan perempuan.
“Saya tunjuk susunan asrama dan maktabah (perpustakaan) serta tandas yang sudah dibaik pulih. Beliau (Amirudin) beritahu asrama dan tandas bersih.
“Ada juga minta pandangannya untuk tukar jubin siling tandas demi keselamatan pelajar termasuk tilam sebab yang sedia ada sudah lama dari 2016,” kata Zulhusni, individu yang dipertanggungjawab menyelia bangunan asrama dua blok sejak tahun lalu.
Bagaimanapun, Amirudin tidak bertemu penghuni asrama berikutan ada yang menghadiri kelas dan Konvensyen Mahasiswa Selangor Timur Tengah.
[caption id="attachment_671887" align="alignnone" width="788"] Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari dan Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) Dato’ Haji Mohad Shahzihan Ahmad berbual bersama pelajar di Rumah Selangor di Kaherah Mesir pada 6 Nov 2024. Foto HARUN TAJUDIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Selepas tinjauan itu, beliau mengimami solat Zuhur dengan beberapa jemaah di surau asrama tersebut.
Pada 5 November, beliau yang dalam rangka lawatan tahunan ke Timur Tengah menyerahkan bantuan berjumlah USD12,520 (RM54,406) bagi menaik taraf bangunan asrama dibina sejak 1992.
Penambahbaikan meliputi tangki air bagi meningkatkan kapasiti, sistem pembentungan untuk mengelak limpahan kumbahan dan sistem pembersihan.