ad
PBT

MBSJ senggara pokok berisiko tumbang, siap siaga perubahan cuaca

28 Okt 2024, 4:10 AM
MBSJ senggara pokok berisiko tumbang, siap siaga perubahan cuaca

SHAH ALAM, 28 OKT: Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) menyelenggara pokok berisiko di 18 lokasi sekitar pentadbirannya sebagai kesiapsiagaan menghadapi peralihan Monsun Timur Laut (MTL).

Datuk Bandar Subang Jaya Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim berkata usaha berterusan itu bagi mengurangkan risiko pokok tumbang dan melindungi keselamatan penduduk serta pengguna jalan raya.

Bermula Oktober ini, beliau menjelaskan lokasi terlibat ialah sekitar zon Subang Jaya, Puchong, Kinrara dan Seri Kembangan, yang dijangka mengambil masa empat bulan.

“Kerja-kerja penyelenggaraan ini melibatkan pemangkasan dahan, penilaian struktur serta penebangan pokok yang dikenal pasti berisiko tinggi,” katanya dalam mesyuarat bulanan, baru-baru ini.

Pada masa sama, Amirul Azizan berkata pihak berkuasa tempatan itu akan terus memantau kerja penyelenggaraan di lapangan dan aliran trafik di kawasan terlibat sepanjang tempoh tersebut.

Beliau turut menasihatkan pengguna jalan raya berhati-hati melalui kawasan tersebut yang berpotensi banjir kilat, pokok tumbang dan kerosakan pada struktur tidak kukuh.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.