SHAH ALAM, 26 SEPT: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) menjemput orang ramai mengimarahkan program Sepang Berselawat di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya esok.
MPSepang menerusi Facebook memaklumkan, program dua hari sehingga Sabtu itu diadakan sempena sambutan Maulidur Rasul peringkat daerah.
“Pelbagai program diadakan antaranya qiamulail perdana, solat Subuh macam Jumaat, Zikir Walk, demo memasak, pertandingan bola sepak jalanan, dan aktiviti berkuda.
“Selain itu, pengunjung juga berpeluang mendapatkan khidmat servis minyak enjin motosikal percuma untuk 50 orang pertama,” maklum pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Tambah MPSepang, kemuncak acara adalah program selawat perdana yang diadakan pada Sabtu bermula jam 9 malam di Dewan Masjid Raja Haji Fi Sabilillah.
Menurutnya, program berkenaan bakal diserikan dengan persembahan kumpulan nasyid terkenal, InTeam, tausiyah oleh Imam Muda Asyraf dan Ustaz Dr Ashraff Amirul, dengan penampilan PU Amin sebagai pengacara majlis.
“Semua dijemput hadir dan untuk maklumat lanjut sila ikuti laman media sosial MPSepang,” katanya.