SHAH ALAM, 26 SEPT: Lima keluarga setinggan di Jalan Broga, Semenyih menerima pampasan masing-masing bernilai RM50,000 untuk penempatan semula mereka.
Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) Zon 21 Ramachandran Arjenan berkata pampasan itu bagi membantu penduduk terjejas membayar sewa rumah atau membeli rumah baharu untuk didiami selepas ini.
“Atas persetujuan bersama pihak pemaju setuju beri pampasan RM50,000 kepada setiap keluarga dan penduduk diberi masa untuk mengosongkan tanah itu selewat-lewatnya 19 November.
“Berdasarkan rancangan pembangunan oleh pemaju, kawasan setinggan ini memang akan terjejas jadi penduduk (setinggan) mahukan perumahan atau pampasan tunai untuk penempatan semula,” katanya ketika dihubungi.
Beliau menambah pemaju turut memperuntuk RM15,000 kepada tiga kuil di situ sebagai ganti rugi untuk pemindahan tempat ibadat yang dijangka turut terjejas.
“Penempatan semula itu perlu bagi memberi laluan kepada pemaju membina infrastruktur selaras dengan piawaian dan keperluan MPKj.
“Pemaju dikehendaki menyediakan kemudahan seperti jalan masuk, saliran dan utiliti lain seperti digariskan dalam kelulusan perancangan yang telah diberikan,” katanya.
Ramachandran menambah kawasan itu adalah tanah rizab kerajaan dan penduduk pernah memegang lesen pendudukan sementara (TOL) yang tamat tempoh pada 1970-an dan tidak pernah diperbaharui.
“Jadi pada 2021 mereka ajukan perkara ini kepada saya, kita usaha cari jalan penyelesaian dan akhirnya selesai dengan pemberian pampasan kepada mereka yang terjejas,” katanya.
Boustead Balau Sdn Bhd akan membangunkan projek perbandaran Mutiara Hills di kawasan seluas 485.6 hektar tanah yang terbahagi kepada tiga sektor.
Pembinaan Sektor 1 dibahagikan kepada lima fasa dan pemaju dikehendaki membina jalan masuk yang menghubungkan 274 unit rumah teres dua tingkat dalam Fasa 1.