SHAH ALAM, 12 SEPT: Dua kilang kitar semula e-sisa sekitar Ijok diarah tutup serta-merta semalam, selain pemilik dikompaun berikutan tidak memiliki lesen aktiviti mengilang.
Menurut Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS), kilang di taman perindustrian Bukit Badong dan Jalan Kandar, Kampung Harmoni turut menyebabkan kacau ganggu bau dan alam sekitar.
Dalam operasi bersama agensi berkaitan, kedua-dua premis disyaki menyimpan dan memproses buangan terjadual seperti kerak logam, bateri kering, papan litar plastik dan sisa tembaga.
“Sitaan turut melibatkan sebuah forklift dan peralatan berkaitan e-sisa,” katanya menambah kes disiasat bawah UUK 3 Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Daerah Kuala Selangor) 2007.
MPKS memaklumkan Jabatan Alam Sekitar turut mengambil sampel barang e-sisa untuk dianalisis Jabatan Kimia, manakala Jabatan Imigresen menahan tiga warga asing untuk semakan dokumen.