SHAH ALAM, 8 MEI: Sebanyak 192,179 kilogram(kg) sisa elektronik dan buangan terjadual berjaya dirampas menerusi Op Green Shield 29 di Pelabuhan Klang semalam.
Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata operasi bersepadu itu melibatkan pemeriksaan ke atas 14 kontena.
Menurutnya, lapan kontena didapati membawa sisa elektronik seberat 172,009kg manakala satu lagi mengandungi buangan terjadual di bawah kod SW103 seberat 20,170kg.
“Dua lagi kontena membawa sisa plastik dan besi buruk seberat keseluruhan 48,290kg namun tidak dikategorikan sebagai buangan terjadual dan akan dirujuk kepada Sirim untuk penilaian lanjut,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata semua kontena terbabit ditempatkan di kawasan tahanan selamat sementara menunggu tindakan eksport semula oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.
Dalam masa sama, siasatan awal turut mendapati syarikat tempatan yang terlibat dipercayai membuat pengisytiharan palsu menerusi borang kastam K1 bagi penghantaran terbabit.
“Tindakan penguatkuasaan telah diambil dan kes diserahkan kepada pihak kastam untuk siasatan lanjut,” katanya.
Nik Ezanee berkata pemeriksaan terhadap kontena disyaki membawa sisa elektronik terlarang akan diteruskan selaras larangan penuh import e-waste yang berkuat kuasa mulai 1 April lalu.









