ad
PBT

MBPJ edar lebih 10,000 Jalur Gemilang, semarak bulan kemerdekaan

18 Ogos 2023, 12:57 PM
MBPJ edar lebih 10,000 Jalur Gemilang, semarak bulan kemerdekaan
MBPJ edar lebih 10,000 Jalur Gemilang, semarak bulan kemerdekaan

Oleh JULIANA JOHAR

PETALING JAYA, 18 OGOS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengedarkan lebih 10,000 Jalur Gemilang kepada premis perniagaan di bawah seliaannya.

Datuk Bandar Mohamad Azhan Md Amir berkata kempen yang sudah dimulakan sejak dua minggu lalu itu bertujuan menyemarakkan sambutan hari kemerdekaan ke-66.

"Setakat ini lebih 10,000 Jalur Gemilang diedarkan kepada premis berlesen dengan MBPJ.

"Kami mahu Petaling Jaya pada bulan kemerdekaan ini diwarnai dan dilimpahi deretan Jalur Gemilang sebagai simbolik rasa kasih sayang kita terhadap negara tercinta.

[caption id="attachment_598558" align="aligncenter" width="802"] Kakitangan MBPJ mengibarkan Jalur Gemilang pada majlis Semarak Jalur Gemilang MBPJ di Laman MBPJ pada 18 Ogos 2023. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/SELANGORKINI[/caption]

"Selain itu, MBPJ menaikkan dua bendera gergasi di Menara MBPJ berukuran 40 kaki lebar, 160 kaki panjang dalam usaha menyemarak dan menyemai rasa cinta dan bangga dengan tanah air sendiri," katanya ditemui pada majlis Semarak Jalur Gemilang di Laman MBPJ hari ini.

Menghangatkan lagi sambutan tahun ini, MBPJ turut mengadakan dua kategori pertandingan iaitu Keceriaan Komuniti Merdeka 2023 yang menawarkan hadiah wang tunai RM4,000 serta pertandingan Kibar Jalur Gemilang dengan hadiah RM1,000 bagi juara, RM750 (naib juara) dan RM500 (tempat ketiga).

"MBPJ akan menilai premis yang mengambil bahagian seperti pasar, gerai, dewan, institut pengajian tinggi serta sekolah dan keputusannya diumum 16 September depan," katanya.

Pada majlis itu, Mohamad Azhan turut merasmikan peletakan Jalur Gemilang di semua kenderaan milik MBPJ dan mengajak orang ramai berbuat demikian.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.