PETALING JAYA, 6 MEI: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mempergiatkan usaha mitigasi banjir di Medan Selera Jalan 223 menerusi pelbagai langkah penambahbaikan segera termasuk pemasangan sistem amaran awal berasaskan sensor serta kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau paras air secara masa nyata.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata inisiatif itu dilaksanakan sebagai sebahagian usaha berterusan MBPJ untuk mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan yang mempunyai sistem saliran tertutup dan memerlukan pendekatan lebih khusus.
Menurutnya, MBPJ turut mengadakan sesi libat urus bersama persatuan peniaga bagi memaklumkan perkembangan semasa projek serta langkah mitigasi yang sedang dan akan dilaksanakan.
“Pelbagai projek mitigasi banjir sedang berjalan melibatkan penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang yang dilaksanakan dengan kerjasama agensi di peringkat negeri dan Persekutuan.
“Projek-projek ini ditaja oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan turut melibatkan penyelarasan dengan kerajaan negeri,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Prapelancaran Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 dan Perhimpunan Warga Kerja MBPJ di Dewan Sivik MBPJ, semalam.

Beliau berkata EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim telah melawat kawasan terbabit, manakala mesyuarat penyelarasan infrastruktur bagi kawasan Petaling Jaya turut diadakan dengan isu banjir sebagai agenda utama.
Katanya lagi, Kerajaan Negeri sedang berusaha mendapatkan peruntukan tambahan bagi mempercepatkan pelaksanaan beberapa projek berkaitan.
Mohamad Zahri berkata pemasangan sensor dan CCTV di dalam sistem saliran membolehkan pemantauan paras air dilakukan secara masa nyata, selain berfungsi sebagai sistem amaran awal kepada peniaga.
“Apabila paras air mencapai tahap tertentu, sensor akan mengaktifkan siren sebagai amaran awal kepada peniaga supaya membuat persiapan dan memindahkan barangan ke tempat lebih selamat,” katanya.

Selain itu, MBPJ turut mencadangkan pembinaan kemudahan One Stop Detention (OSD) di tapak kosong berhampiran kawasan tersebut bagi meningkatkan kapasiti takungan air hujan dan mengurangkan risiko limpahan ketika hujan lebat.
Beliau berkata cadangan itu akan dikemukakan kepada kerajaan negeri sebagai penyelesaian jangka panjang bagi menangani isu banjir di kawasan terbabit.







