ad
BERITA UTAMA

MB gesa rakyat hilang kerja sebab Covid-19 daftar JobsMalaysia

15 Jul 2020, 6:14 AM
MB gesa rakyat hilang kerja sebab Covid-19 daftar JobsMalaysia

SHAH ALAM, 15 JULAI: Rakyat yang hilang pekerjaan akibat pandemik Covid-19 diminta mendaftar dengan jobsmalaysia.gov.my, kata Dato' Menteri Besar.

Dato' Seri Amirudin Shari berkata statistik Jabatan Tenaga Kerja mendapati 4,000 rakyat negeri ini hilang sumber pendapatan kesan penularan virus itu.

"Kerajaan Negeri menjalin kerjasama dengan JobsMalaysia bagi membolehkan padanan kerja yang lebih mudah dan sistematik kerana impak Covid-19 menyebabkan banyak syarikat tidak mampu bertahan.

"Kita akan pantau bilangan sebenar pengangguran akibat penularan wabak dari semasa ke semasa sehingga hujung tahun," katanya ketika menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Kandis

Mohd Zawawi Ahmad Mughni berhubung jumlah rakyat hilang pekerjaan pada sidang Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Amirudin menambah program Selangor Kerjaya yang diumumkan di bawah pakej rangsangan ekonomi fasa ketiga bakal memberi manfaat kepada mereka yang menganggur di negeri ini.

"Program Selangor Kerjaya membantu meningkatkan tahap kemahiran, latihan semula kemahiran atau mempelajari kemahiran baharu bagi menyokong kemahiran sedia ada," katanya.

Beliau menjelaskan pelaksanaan itu membabitkan perbelanjaan sebanyak RM58 juta dalam tempoh tiga tahun. Tawaran itu khusus untuk mereka yang diberhentikan kerja untuk diberi latihan kemahiran baharu sesuai dengan Revolusi Industri 4.0.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.