Pendaki hilang Gunung Batu Putih: SAR masuk hari ke-14, tiada petunjuk baharu

6 Jun 2026, 8:14 AM
Pendaki hilang Gunung Batu Putih: SAR masuk hari ke-14, tiada petunjuk baharu
Pendaki hilang Gunung Batu Putih: SAR masuk hari ke-14, tiada petunjuk baharu
Pendaki hilang Gunung Batu Putih: SAR masuk hari ke-14, tiada petunjuk baharu
Pendaki hilang Gunung Batu Putih: SAR masuk hari ke-14, tiada petunjuk baharu

IPOH, 6 JUN: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, di kawasan Gunung Batu Putih yang memasuki hari ke-14 hari ini belum menemukan sebarang petunjuk baharu walaupun pencarian kini diteruskan pada skala lebih kecil.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata pasukan SAR menemukan sejumlah barangan di beberapa lokasi seperti di kawasan sungai, lereng bukit dan laluan tempuhi, namun barangan terbabit dipastikan bukan milik mangsa.

Beliau berkata lapan anggota Pasukan Khas, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) serta dua Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang terlibat di lokasi sektor pencarian sejak Khamis, bagaimanapun telah selamat keluar dari sektor operasi pada 11.30 pagi tadi.

"Semalam pula pasukan pencarian terdiri daripada lima anggota Jabatan Perhutanan dan MGP masuk ke lokasi sektor pencarian.

"Kumpulan komuniti Orang Asli yang bersama-sama terlibat mencari sejak 3 Jun lepas juga masih berada di sektor pencarian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabarodzi berkata JBPM Perak telah menerima sejumlah permohonan daripada sukarelawan untuk terlibat dalam pencarian, namun terdapat permohonan ditolak selepas melalui tapisan dan penyelarasan bersama pegawai Jabatan Perhutanan.

"Antaranya (faktor permohonan ditolak) disebabkan pematuhan SOP (prosedur operasi standard), tempoh masa yang tidak sesuai, peralatan dan kelengkapan yang tidak mencukupi serta beberapa kriteria lain," katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata pada masa sama terdapat juga kumpulan telah dibenarkan terlibat dalam pencarian itu setelah permohonan mereka memenuhi syarat ditetapkan.

Sementara itu, JBPM Perak menerusi hantaran Facebook berkongsikan beberapa kaedah pencarian yang telah dijalankan antaranya pencarian atau semakan semula di beberapa lokasi yang dikenal pasti berpotensi berdasarkan maklumat dan petunjuk yang diperoleh serta melaungkan azan.

Pihak JBPM Perak turut memaparkan gambaran sebenar kepada orang ramai, khususnya kepada mereka yang tidak pernah mendaki gunung dan melalui laluan hutan tebal seperti di Gunung Batu Putih.

Jaslinda dilaporkan bersama-sama 13 lagi individu dan dua MGP memulakan pendakian Trans Spencer Chapman pada 2 pagi, 23 Mei lepas melalui laluan Pos Gedung–Gunung Bah Gading–Gunung Batu Putih–Kuala Woh.

Jaslinda dan seorang lagi pendaki, Mohd Hanafi Neikmad, 41, mengalami masalah kesihatan dan berhenti mendaki, bagaimanapun eksekutif rantaian bekalan di sebuah syarikat swasta itu dilaporkan meneruskan perjalanan ke puncak gunung dan kali terakhir dilihat pada 24 Mei.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.