RS-2 fokus perkukuh pengurusan data alam sekitar, perluas akses kesihatan awam

6 Jun 2026, 7:43 AM
RS-2 fokus perkukuh pengurusan data alam sekitar, perluas akses kesihatan awam
RS-2 fokus perkukuh pengurusan data alam sekitar, perluas akses kesihatan awam
RS-2 fokus perkukuh pengurusan data alam sekitar, perluas akses kesihatan awam
RS-2 fokus perkukuh pengurusan data alam sekitar, perluas akses kesihatan awam

PETALING JAYA, 6 JUN: Penambahbaikan sistem pengurusan data alam sekitar serta perluasan akses kepada perkhidmatan kesihatan awam menjadi antara fokus utama Rancangan Selangor Kedua (RS-2) bagi memastikan pelaksanaan dasar dan inisiatif Kerajaan Negeri lebih berkesan dan menyeluruh.

EXCO Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Jamaliah Jamaluddin berkata penyediaan RS-2 mengambil kira pengalaman pelaksanaan Rancangan Selangor Pertama (RS-1), khususnya dalam usaha memperkukuh penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) yang lebih realistik dan praktikal.

“Antara cabaran yang dikenal pasti ialah terdapat bahan dan barangan yang dikitar semula tetapi tidak didaftarkan secara rasmi, sekali gus menyukarkan usaha mendapatkan gambaran menyeluruh mengenai jumlah sebenar bahan yang berjaya dikitar semula.

“Justeru, kita mahu memperkukuh sistem pengumpulan data supaya perancangan dan dasar yang dirangka dapat dibuat berdasarkan maklumat yang lebih tepat, menyeluruh dan mencerminkan keadaan sebenar di lapangan,” katanya.

Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo dan EXCO Alam Sekitar, Jamaliah Jamaluddin bersama peserta program Belia On Sungai (BOS) di Kolam Tadahan Sungai Kayu Ara, Kampung Cempaka, PJU 1, Petaling Jaya pada 6 Jun 2026. Foto UFAIRAH TARMIDZI/MEDIA SELANGOR

Ditemui ketika program Belia On Sungai (BOS) di sini, Jamaliah berkata Selangor merupakan satu-satunya negeri yang mempunyai rancangan pembangunan khusus bagi tempoh lima tahun, sekali gus membolehkan hala tuju pembangunan dirancang secara lebih tersusun dan menyeluruh.

Dalam aspek kesihatan awam, beliau berkata RS-2 turut memberi penekanan kepada usaha memperluas akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan bagi mengurangkan kesesakan di klinik kesihatan kerajaan.

“Pada masa sama, kita turut memberi perhatian kepada isu kesihatan mental kerana ia mempunyai hubungan rapat dengan kesihatan fizikal serta kesejahteraan individu. Aspek ini semakin penting dalam kehidupan masyarakat hari ini dan perlu ditangani secara menyeluruh.

“Kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mental perlu terus diperkukuh supaya masyarakat lebih peka terhadap kesejahteraan diri serta berani mendapatkan bantuan dan rawatan lebih awal apabila diperlukan,” katanya.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari dan EXCO Kesihatan Awam Jamaliah Jamaluddin melakukan saringan kesihatan menggunakan alat dynamometer ketika program kesihatan warga emas negeri Selangor di Dewan Beringin, Gombak pada 31 Mei 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Beliau turut memaklumkan Kerajaan Negeri berhasrat memperluas program saringan kesihatan dengan memberi tumpuan kepada golongan warga emas selaras persediaan Selangor menghadapi peralihan kepada masyarakat menua (ageing society).

Menurut Jamaliah, pendekatan pencegahan dan pengesanan awal perlu diperkasakan bagi memastikan golongan berusia dapat menikmati kualiti hidup lebih baik serta terus menjalani kehidupan aktif dan sihat.

Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan RS-2 akan dibentangkan bulan ini dengan mengambil kira cabaran semasa termasuk ketegangan geopolitik global, krisis tenaga dan ketidaktentuan ekonomi dunia.

Beliau berkata antara pendekatan diketengahkan dalam RS-2 ialah model pembangunan berorientasikan misi yang menjadi antara pendekatan utama pakar ekonomi terkenal Mariana Mazzucato.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.