SHAH ALAM, 6 JUN: Seramai 152 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 dari Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning menerima insentif pendidikan berjumlah RM36,550 sebagai penghargaan atas kecemerlangan akademik mereka.
Ahli Dewan Negeri Kota Kemuning, Preakas Sampunathan berkata sumbangan itu diberikan bagi mengiktiraf usaha dan pencapaian pelajar selain menyuntik semangat untuk mereka terus melakar kejayaan pada peringkat lebih tinggi.

“Insentif ini merupakan simbol komitmen berterusan DUN Kota Kemuning dalam memperkukuhkan agenda pendidikan dan pembangunan modal insan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Terdahulu, kesemua pelajar berkenaan diraikan dalam Majlis Generasi Cemerlang SPM 2025 yang berlangsung di Dewan Aster, Majlis Bandaraya Shah Alam, semalam.

Pada masa sama, Preakas turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, guru, pihak sekolah, Kementerian Pendidikan serta Kementerian Pendidikan Tinggi atas peranan mereka dalam membimbing pelajar mencapai kecemerlangan.
“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus melangkah lebih jauh dalam menimba ilmu dan mencapai cita-cita demi keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.








