Piala Dunia: Pegawai pasukan Iran belum terima visa masuk AS

6 Jun 2026, 2:01 AM
Piala Dunia: Pegawai pasukan Iran belum terima visa masuk AS

ISTANBUL, 6 JUN: Amerika Syarikat (AS) masih belum mengeluarkan visa kemasukan kepada beberapa anggota teknikal dan pentadbiran pasukan bola sepak kebangsaan Iran menjelang Piala Dunia FIFA, lapor Anadolu Ajansi (AA), memetik Agensi Berita Fars Iran.

Menurut laporan Fars pada Jumaat, beberapa anggota barisan kejurulatihan dan pegawai pentadbiran pasukan itu masih belum menerima visa untuk memasuki AS, dengan Kedutaan AS dilaporkan setakat ini enggan mengeluarkan dokumen berkenaan.

Laporan media sebelum ini memetik seorang pegawai Rumah Putih sebagai berkata pemain Iran telah menerima permit kemasukan ke AS kira-kira 10 hari sebelum perlawanan pembukaan mereka di Los Angeles.

Perkembangan itu berlaku selepas pegawai Iran mengumumkan bahawa pemain skuad kebangsaan negara itu telah menerima visa Mexico menjelang Piala Dunia yang akan dianjurkan bersama oleh AS, Kanada dan Mexico.

Isu visa muncul sebagai antara kebimbangan utama Iran menjelang Piala Dunia. Walaupun pasukan itu dijangka berpangkalan di Tijuana, Mexico, ketiga-tiga perlawanan Kumpulan G mereka akan berlangsung di AS.

Iran menjalani kem latihan pra-Piala Dunia di bandar peranginan Antalya, Turkiye sejak 19 Mei.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.