IPOH, 5 JUN: Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNP) melarang aktiviti pendakian secara dayhike dan compressed hike di kawasan pendakian yang berisiko berkuat kuasa serta-merta hari ini.
JPNP menerusi kenyataan di laman Facebook memaklumkan keputusan itu dibuat selepas mengambil kira penilaian risiko semasa dan kesesuaian bentuk muka bumi di lapangan bagi memastikan keselamatan pendaki.
"Antara laluan yang terlibat ialah Gunung Korga menerusi laluan Gunung Korbu-Gunung Gayong yang ditetapkan tempoh minimum pendakian selama tiga hari, selain Trans Spencer Chapman melalui laluan Gunung Bar Gading-Gunung Kak-Gunung Batu Putih dengan tempoh pendakian minimum selama lima hari.
"Trans Jerging (Gunung Suku-Gunung Irau), Trans Batu (Gunung Batu Putih-Gunung Batu Bujang-Gunung Kak-Gunung Batu Dara) dan Trans Slim (Gunung Liang East/West-Gunung Chondong Geliting-Gunung Tumang Batak) memerlukan tempoh minimum tiga hari pendakian," menurut kenyataan itu.
JPNP memaklumkan laluan Trans Titiwangsa V1 yang merangkumi Gunung Korbu, Gunung Gayong dan Gunung Yong Belar ditetapkan tempoh minimum pendakian selama lima hari.
Kenyataan itu juga memaklumkan laluan Trans Beratih yang melibatkan Bukit Berapit, Gunung Rayu dan Gunung Batu Putih memerlukan sekurang-kurangnya empat hari pendakian untuk diselesaikan.
"Sebarang perubahan atau pindaan terhadap senarai laluan berkenaan akan dikemas kini dari semasa ke semasa berdasarkan penilaian jabatan.
"Kegagalan mematuhi arahan tersebut boleh menyebabkan ID (kad identiti) Malim Gunung Perhutanan (MGP) yang terlibat dibekukan serta disenarai hitam sebagai MGP Negeri Perak berkuat kuasa serta-merta bagi tempoh enam bulan atau lebih mengikut kesesuaian," menurut kenyataan itu
Kenyataan itu memaklumkan orang ramai boleh melayari portal rasmi JPNP di https://www.perakforestry.gov.my.
-- BERNAMA










