SUBANG JAYA, 5 JUN: Pusat Akuatik Selangor yang dinaiktaraf bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dilengkapi kemudahan moden terutama sensor masa serta pemarkahan.
EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata kerja naik taraf melibatkan peruntukan RM40 juta itu turut melibatkan penggantian beberapa logistik utama antaranya kawasan tempat duduk penonton, pam air serta saluran paip bawah tanah.
“Ini merupakan kerja naik taraf pertama sejak pusat ini dibina pada 1997 sempena Sukan Komanwel. Jadi kerja naik taraf dibuat berskala besar, seiring dengan keperluan semasa.
“Dengan penggunaan teknologi dan sistem moden, selepas ini Selangor akan menjadi tumpuan lokasi penganjuran kejohanan renang bertaraf antarabangsa,” katanya kepada Media Selangor.
Terdahulu Mohd Najwan meninjau sesi latihan atlet sukan renang kontinjen Selangor untuk SUKMA di Kompleks Kemudahan Kemasyarakatan (3K) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata atlet renang boleh memulakan latihan di pusat yang sebelum ini dikenali sebagai Pusat Akuatik Darul Ehsan dalam masa terdekat selepas kerja naik taraf kemudahan itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu lagi.
“Secara amnya, kerja naik taraf sudah siap. Cuma tinggal untuk bahagian pengurusan sahaja. Lepas ini mereka boleh mulakan latihan di sana.
“Fasilitinya lebih lengkap dan ini akan beri kelebihan kepada atlet Selangor kerana dapat menyesuaikan diri dengan lokasi pertandingan lebih awal,” katanya.
SUKMA edisi ke-22 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, manakala PARA SUKMA akan diadakan dari 5 hingga 10 September.
Sebanyak 469 acara daripada 37 jenis sukan akan dipertandingkan di sembilan daerah membabitkan 52 venue, manakala PARA SUKMA melibatkan 10 jenis sukan dengan 316 acara yang berlangsung di daerah Petaling dan Klang.
Bagi temasya dwitahunan itu, Selangor meletakkan sasaran meraih 54 pingat emas.








