MBM ajak belia sertai Program Rakan Bumi sempena Hari Alam Sekitar Sedunia

5 Jun 2026, 9:49 AM
MBM ajak belia sertai Program Rakan Bumi sempena Hari Alam Sekitar Sedunia

SHAH ALAM, 5 JUN: Majlis Belia Malaysia (MBM) mengajak golongan belia di menyertai Program Rakan Bumi sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia 2026 yang berlangsung sepanjang Jun di pelbagai lokasi seluruh Malaysia.

Setiausaha Agungnya Ahmad Farhan Rosli berkata program itu sejajar dengan aspirasi Malaysia MADANI yang mengangkat prinsip kemampanan sebagai teras pembangunan negara.

"Program ini bertujuan membentuk generasi muda yang peka terhadap isu alam sekitar serta menghidupkan semangat gotong-royong dan kesukarelawanan dalam komuniti," katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, program berkenaan dianjurkan bersama badan gabungan MBM dengan sokongan Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) menerusi inisiatif Rakan Muda x Rakan Bumi.

Menurut Ahmad Farhan lagi, sebanyak 20 siri program akan dilaksanakan sepanjang bulan ini bagi meraikan Hari Alam Sekitar Sedunia yang disambut pada 5 Jun setiap tahun.

Pelbagai aktiviti disusun termasuk gotong-royong, penanaman pokok dan Buskers Alam Sekitar yang menggabungkan elemen seni, alam sekitar serta warisan budaya dalam menyampaikan mesej kelestarian.

"MBM percaya pemeliharaan alam sekitar memerlukan penglibatan semua pihak, khususnya belia yang bakal mewarisi masa depan negara," ujarnya.

Sehubungan itu, organisasi berkenaan menyeru anak muda supaya bersama-sama menjayakan sambutan tersebut selain menjadikan amalan menjaga kebersihan, menghargai alam dan mengamalkan gaya hidup lestari sebagai budaya hidup.

Program bermula pada 5 Jun di Pantai Teluk Senangin, Lumut, Perak dan Pantai Taman Awam Kertih, Terengganu.

Pada 6 Jun, program diteruskan di beberapa lokasi termasuk Pantai Merdeka dan Pantai Murni di Kedah, Pantai Klebang serta Pantai Puteri di Melaka, Pantai Saujana dan Batu 4 Bagan Pinang di Port Dickson, Negeri Sembilan, selain Pantai Pueh Sematan di Kuching, Sarawak.

Turut terlibat pada tarikh sama ialah Pantai Pelindung dan Pantai Balok di Kuantan, Pahang serta Tapak Sejarah Chimney di Labuan.

Di Pulau Redang, Terengganu, program berkenaan berlangsung selama dua hari, iaitu dari 6 hingga 7 Jun.

Sementara itu, pada 7 Jun, program diadakan di Tasik Putrajaya, Pantai Teluk Kemang di Port Dickson dan Pantai Bersih di Butterworth, Pulau Pinang.

Pada 13 Jun pula, program dilaksanakan di Pantai Bagan Lalang, Sepang; Pantai Batu Gaduh, Kota Belud; dan Pantai Morib, Banting.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.