PETALING JAYA, 5 JUN: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meraikan Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 menerusi pelbagai kemudahan dan program percuma sebagai penghargaan kepada warga kota yang telah bersama membangunkan bandar raya itu selama dua dekad.
Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata sambutan dari 16 hingga 21 Jun itu bukan sahaja mengiktiraf pencapaian Petaling Jaya sebagai bandar raya maju dan mampan, malah bertujuan menggalakkan penglibatan masyarakat menerusi pelbagai aktiviti komuniti.
Menurutnya, orang ramai boleh menikmati enam perkhidmatan percuma sepanjang sambutan berkenaan termasuk tempat letak kereta, keahlian Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya serta agihan anak pokok, baja kompos organik dan bahan pembunuh jentik-jentik, abate.

“Selain perkhidmatan percuma, sebanyak 11 program utama turut disusun bagi memberi manfaat kepada pelbagai lapisan masyarakat merangkumi aspek pembelajaran, pendigitalan, kelestarian alam sekitar, kesihatan, kebudayaan dan pembangunan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Prapelancaran Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya Ke-20 dan Perhimpunan Warga Kerja MBPJ di Dewan Sivik MBPJ, pagi tadi.
Mohamad Zahri berkata antara tarikan utama ialah PJ Learning City Festival 2026 yang menampilkan forum pendidikan, literasi digital, pembangunan kemahiran, keselamatan siber, kecerdasan buatan (AI) serta sesi perkongsian ilmu.

Katanya, PJ Digital 2026 pula akan menghimpunkan pameran teknologi dan inovasi ICT, pengalaman realiti maya (VR), aktiviti interaktif serta pertandingan e-sukan bagi memperkukuh literasi digital dalam kalangan masyarakat.
Dalam aspek kelestarian, MBPJ turut menganjurkan pelbagai program termasuk Hari Terbuka PJ Eco Recycling Plaza, program Trash to Cash, pengumpulan sisa elektrik dan elektronik (e-Waste), kutipan minyak masak terpakai serta bengkel kitar semula.
“Usaha ini selaras dengan komitmen bandar raya ke arah pembangunan mampan dan amalan ekonomi kitaran dalam komuniti,” katanya.

Selain itu, sambutan berkenaan turut dimeriahkan dengan festival makanan, persembahan seni budaya, persembahan buskers, aktiviti keluarga, program kesihatan, zon kanak-kanak, pertandingan LEGO Robotics serta aktiviti khas untuk warga emas.
Kemuncak sambutan akan berlangsung pada 20 Jun di Laman MBPJ, Jalan Yong Shook Lin menerusi majlis perasmian yang menampilkan perarakan komuniti melibatkan sekolah, institusi pengajian tinggi, sektor kesihatan, industri perhotelan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi strategik.
“Orang ramai dijemput hadir memeriahkan sambutan ini dan menyertai pelbagai aktiviti yang telah disediakan sepanjang enam hari penganjurannya,” katanya.




