KUALA LUMPUR, 5 JUN: Seorang pemandu teksi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan mengedar 748.59 gram dadah jenis kanabis, tahun lepas.
Mohd Faris Ali, 55, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan semula di hadapan Hakim Datuk Aslam Zainuddin.
Tertuduh didakwa mengedar dadah terbabit di Jalan 3/149J Bandar Baru Seri Petaling di sini pada 5 petang, 23 Jan 2025.
Pertuduhan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati atau dipenjara seumur hidup, jika tidak dihukum mati hendaklah dihukum dengan tidak kurang 12 sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah menetapkan 20 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi lantikan peguam.







