Negeri sasar tambahan 15 peratus pelancongan perubatan

6 Jun 2026, 1:00 AM
Negeri sasar tambahan 15 peratus pelancongan perubatan
Negeri sasar tambahan 15 peratus pelancongan perubatan

SUBANG JAYA, 6 JUN: Kerajaan Selangor menyasar pertumbuhan tahunan sebanyak 15 peratus bagi sektor pelancongan perubatan.

Sasaran itu didorong jaringan perhubungan yang kukuh, rangkaian hospital swasta yang meluas serta peningkatan keyakinan antarabangsa terhadap perkhidmatan kesihatan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor Chua Yee Ling menjelaskan data dalam tempoh dua tahun terakhir menyaksikan Lembah Klang mengatasi Pulau Pinang dan Melaka dari segi bilangan ketibaan pesakit antarabangsa.

“Kami melihat pertumbuhan pasaran sekitar 15 peratus. Kami mahu lebih tinggi, namun pada masa sama, pertumbuhan yang sederhana juga baik kerana ia menunjukkan rakyat kekal sihat,” katanya kepada Media Selangor.

Katanya, lebih 336,000 daripada 8.42 juta pelancong ke Selangor sepanjang tahun lalu atas tujuan pelancongan perubatan yang dijangka menyumbang antara RM1.5 bilion hingga RM2 bilion.

Menurut Yee Ling, angka itu tiga hingga empat kali ganda lebih tinggi berbanding purata perbelanjaan pelancong biasa melalui kos rawatan, penginapan ahli keluarga atau penjaga dan perbelanjaan runcit.

Berdasarkan Majlis Pelancongan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC), Lembah Klang yang merangkumi Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mengatasi Pulau Pinang sebagai hab utama pelancongan perubatan.

Lembah Klang menerima kira-kira 560,700 pesakit antarabangsa antara Januari hingga November 2024 dan menjana hasil mencecah RM886 juta.

Walaupun Indonesia kekal pasaran terbesar Selangor, Tourism Selangor giat memperluas pasaran baharu termasuk China, India, Asia Barat, Jepun dan negara-negara Asia Tenggara.

Tourism Selangor juga meneroka potensi pasaran Kemboja manakala usaha memperluas pasaran Asia Barat dipantau rapi ekoran faktor ketidaktentuan geopolitik dunia.

Ketua Pegawai Eksekuti Tourism Selangor Chua Yee Ling. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Ekosistem kukuh

Yee Ling memberitahu kelebihan daya saing Selangor terletak kepada ekosistem kesihatan yang kukuh khususnya tumpuan pusat perubatan swasta serta akses antarabangsa yang baik.

“Selangor mempunyai jumlah pusat perubatan swasta paling banyak iaitu 46 buah. Berbanding negeri lain di Malaysia, kita sebenarnya memiliki kemudahan perubatan terbaik,” katanya.

Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang turut menjadikan Selangor pintu masuk utama negara.

Selain itu, faktor bahasa, kos rawatan yang lebih mampu milik dan keyakinan terhadap sistem kesihatan Malaysia terus menarik pesakit luar negara terutama Indonesia.

“Kos penjagaan kesihatan kita mampu milik dan kompetitif. Apabila mereka melihat pakej ditawarkan di Malaysia, harganya masih berpatutan dan tidak terlalu mahal seperti Singapura.

“Sebab itu saya percaya kita mempunyai potensi yang sangat besar dalam pasaran ini kerana orang ramai yakin dengan perkhidmatan kita,” katanya lagi.

Mengulas kempen promosi Tourism Selangor ekoran konflik di Asia Barat dan peningkatan kos perjalanan global, Yee Ling berkata, pelancongan perubatan lebih berdaya tahan berbanding pelancongan rekreasi.

“Bagi rawatan perubatan, walau apa pun kosnya, orang ramai tetap akan mendapatkannya jika diperlukan. Ia berbeza dengan pelancongan rekreasi apabila perbelanjaan lebih bersifat pilihan dan orang ramai mungkin akan berfikir semula jika kos terlalu tinggi,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.