Rawat jiwa yang rapuh cara Islam

5 Jun 2026, 8:00 AM
Rawat jiwa  yang rapuh cara Islam
Rawat jiwa  yang rapuh cara Islam
Rawat jiwa  yang rapuh cara Islam

Masalah kesihatan mental bukan lagi sesuatu yang asing. Tekanan hidup, konflik rumah tangga, bebanan kerja, kecelaruan identiti dan keresahan emosi antara cabaran yang kerap menghimpit individu tanpa mengira usia dan latar belakang.

Saat berdepan tekanan, ramai memilih mendapatkan rawatan perubatan atau ubat-ubatan bagi mengurangkan gejala yang dialami. Bagi sesetengah individu, kelegaan tidak semestinya hadir sepenuhnya meskipun keadaan fizikal dan emosi semakin stabil.

Ada kalanya, individu masih dibelenggu persoalan tentang makna kehidupan, tujuan di sebalik ujian yang dihadapi dan kekosongan dalaman yang sukar dijelaskan.

Keadaan itu menyebabkan semakin ramai mencari pendekatan yang bukan sahaja merawat emosi, tetapi menyentuh aspek kerohanian.

Psikoterapi Islam dilihat kian mendapat perhatian sebagai salah satu pendekatan pelengkap dalam rawatan kesihatan mental.

Gabungan elemen psikologi dan spiritual bukan sekadar membantu individu mengurus emosi, malah memberi ruang memahami diri serta membina semula kekuatan dalaman.

Menurut pensyarah Jabatan Usuluddin dan Dakwah, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, psikoterapi Islam merupakan disiplin ilmu yang mengkaji manusia dari pelbagai aspek sebelum menawarkan penyelesaian berasaskan prinsip agama.

“Psikoterapi Islam adalah satu disiplin ilmu yang mengkaji tentang manusia dari pelbagai aspek dan memberi satu saranan ataupun solusi berbentuk rawatan yang bersandarkan agama Islam,” kata Dr Syukri Japi kepada Media Selangor.

Namun, pendekatan itu sering disalah fahami sebagai sekadar ceramah agama, zikir atau bacaan tertentu, sedangkan ia sebenarnya melibatkan kaedah yang lebih menyeluruh dan sistematik.

Wawancara bersama Dr Syukri Japi Psikoterapi Islam Universiti Malaya di Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya pada 22 Mei 2026.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Beza pendekatan Islam dan Barat

Psikoterapi Islam merangkumi teknik psikologi, latihan pernafasan, refleksi kendiri, muhasabah serta pelbagai modul intervensi yang disusun mengikut keperluan individu.

“Kalau kita stres, psikoterapi barat mencadangkan penghayatan tarik nafas. Tetapi psikoterapi agama, tak kisahlah Islam atau agama lain, dia ada cara tersendiri yang bersumber agama,” katanya.

Berbeza pendekatan psikologi barat yang lazimnya memberi tumpuan aspek pemikiran, tingkah laku dan pengurusan emosi, psikoterapi Islam menggabungkan elemen spiritual bagi membantu seseorang mencapai ketenangan secara lebih menyeluruh.

Pendekatan itu tidak terhad kepada sesi perbincangan di dalam bilik terapi semata-mata. Ia boleh melibatkan aktiviti luar, pemerhatian alam, sesi muhasabah dan program intervensi berkumpulan yang dijalankan secara berperingkat.

Pengalaman beliau mengendalikan pelbagai kes termasuk penagihan dadah, HIV, keresahan pelajar, konflik keluarga dan pesakit kronik menunjukkan pendekatan berasaskan agama memberi kesan positif kepada proses pemulihan.

Dalam kes penagihan dadah misalnya, rawatan seperti pengambilan methadone boleh membantu menstabilkan keadaan fizikal pesakit. Namun, katanya masih terdapat kekosongan emosi dan spiritual yang perlu dipulihkan.

“Bila dia makan dah lega dan mereka rasa diri kosong, bila rasa kosong mereka perlukan pendekatan agama tadi, kita kata psikoterapi Islam,” katanya.

Pendekatan sama turut digunakan dalam membantu pelajar yang mengalami keresahan melampau sehingga menjejaskan fungsi harian serta kesejahteraan emosi mereka.

Malah, kaedah itu semakin diterima dalam sistem kesihatan negara apabila digunakan di beberapa hospital termasuk Hospital Sungai Buloh, Hospital Selayang dan Institut Kanser Negara.

Pesakit kronik khususnya pesakit barah sering berdepan persoalan besar mengenai takdir, ujian hidup dan harapan untuk meneruskan kehidupan.

“Bila kata barah, dia akan sebut kenapa aku diuji. Jadi kita kena menggunakan pendekatan psikologi agama tadi, apa Islam ajar nak bantu orang yang kecewa dalam hidup,” katanya.

Pendekatan tersebut dijangka diperluas kepada kira-kira 10 lagi institusi perubatan susulan pe-

ningkatan keperluan masyarakat terhadap rawatan kesihatan mental yang lebih menyeluruh.

Selain terapi, keberkesanan intervensi turut dipantau menggunakan teknologi biofeedback yang mengukur perubahan fisiologi seperti tahap tekanan dan ketenangan individu selepas sesi rawatan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.