SHAH ALAM, 5 JUN: Selangor Saring yang menawarkan pemeriksaan percuma kepada segenap lapisan usia tanpa mengira kaum mendidik pengunjung peka terhadap gejala awal penyakit.
Noraliza Mohd Ali, 52, berkata program berkenaan memberi peluang kepada golongan ibu untuk menjalani pemeriksaan kesihatan yang sering tertangguh lantaran komitmen keluarga.
“Inisiatif yang baguslah sebab untuk kita yang macam mak-mak ini, kita jarang pentingkan diri kita, kita lebihkan keluarga.
“Sebab selama ini kita fikirkan kalau kita tak sakit, kita tak payah pergi. Jadi bila buat pada hari hujung minggu macam ini, kita ada masa untuk pergi,” katanya.

Mustatha Md Sharif, 67, yang pertama kali menyertai program sedemikian pula menganggap pemeriksaan berkala penting untuk mengesan penyakit, lebih-lebih lagi apabila usia meningkat.
“Kita buat saringan untuk tentukan tahap kesihatan kita. Sebaik-baiknya kita buat saringan berkala, jadi apa-apa masalah pada diri kita, kita tahu sebelum ia jadi kritikal,” katanya.

Lim Teck Heng, 65, pula memberitahu kehadiran ramai petugas kesihatan sepanjang program tersebut memudahkan beliau untuk melakukan pemeriksaan tanpa sebarang kos.
“Ini (Selangor Saring) banyak pekerjalah. Jadi saya tengok kita punya kerajaan sangat baik. Dia jaga ramai orang.
“Kalau setiap tahun ada, ini sangat bagus sebab kita boleh beritahu kita pu-nya saudara ke kawan baik ke. Kalau kita pergi itu luar (swasta) bukan senang,” katanya.

Menurut Izzah Amira, 33, yang hadir menjalani prosedur mamogram berkata proses itu mendorongnya berfikir jika beliau ada simptom penyakit tertentu atau sebaliknya.
“Jadi bila awak buat saringan berkala setiap enam bulan, awak boleh tahu (kalau) awak sakit dan boleh dapatkan rawatan awal,” katanya.

Mereka ditemui di Dewan Kenanga Seksyen 28 di sini baru-baru ini dalam program Selangor Saring peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Kemuning.
Sementara itu, Setiausaha Kehormat Ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Roslan Jamil memaklumkan program tersebut tahun ketiga pemeriksaan secara percuma dijalankan.
“Selgate buat untuk semua DUN di Selangor dan program Selangor Saring ini penuh dari Januari sampai Disember untuk 56 DUN,” katanya.







