PUTRAJAYA, 5 JUN: Sambutan Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara 2026 yang dijangka menarik kehadiran 500,000 pengunjung membuka tirainya hari ini, dengan mengetengahkan peranan TVET sebagai pemangkin pembangunan modal insan berkemahiran tinggi dan pemacu daya saing ekonomi negara.
Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan merasmikan kemuncak sambutan itu pada 10 pagi esok.
Mengangkat tema “TVET Pilihan Utama Kerjaya”, sambutan selama tiga hari sehingga Ahad di Dataran Putrajaya di sini, bermula 9 pagi hingga 10 malam, menghimpunkan lebih 107 agensi, institusi dan pemain industri daripada sembilan sektor utama merangkumi bidang aeroangkasa, elektronik dan digital, pertanian, pengangkutan dan automotif, pembuatan termaju, perkhidmatan, rel, maritim serta sektor tenaga.
Sepanjang tiga hari penganjuran, Hari TVET Negara 2026 menyajikan pelbagai program serta aktiviti menarik bagi memberi peluang kepada pengunjung menerokai enam hab utama, iaitu penglibatan institusi TVET dan industri, seminar TVET, karnival kerjaya TVET, usahawan TVET, cabaran TVET serta hiburan berinformasi TVET.
Ahli Majlis TVET Negara Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez berkata persiapan rapi telah dijalankan bagi memastikan pengunjung mendapat manfaat sambil menyifatkan sambutan kali ini bukan sekadar pameran biasa, sebaliknya menjadi platform nasional yang menghubungkan pendidikan, industri dan peluang pekerjaan dalam satu ekosistem yang lengkap.
“Antara tarikan utama tahun ini ialah Karnival Kerjaya yang menawarkan hampir 3,000 peluang pekerjaan dan temu duga terbuka kepada pengunjung, khususnya mereka yang sedang mencari pekerjaan.
“Ini membuktikan TVET hari ini bukan lagi dianggap sebagai laluan kedua, sebaliknya sudah menjadi pilihan utama kerjaya yang mampu menjamin kebolehpasaran tinggi serta pendapatan kompetitif kepada anak muda,” katanya kepada Bernama.
Mohamed Khairul Azman ketika mengulas mengenai penglibatan 30 pempamer dari China pada sambutan itu berkata komitmen berkenaan mencerminkan penglibatan industri antarabangsa yang semakin kukuh, sekali gus menunjukkan keyakinan global terhadap pembangunan ekosistem TVET negara.
Beliau berkata semua kementerian, agensi, institusi TVET, pemain industri serta urus setia telah memberikan komitmen yang amat memberangsangkan bagi memastikan penganjuran kali ini berjalan lancar, tersusun dan memberi impak besar kepada rakyat, khususnya golongan belia dan pencari kerja.
Menerusi perkongsian Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di laman Facebooknya, beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara dijadualkan mengadakan tinjauan di lokasi penganjuran Hari TVET Negara 2026 pada 6 petang ini.
Memanfaatkan media sosial khususnya Facebook, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut giat menghangatkan sambutan Hari TVET Negara 2026 menerusi siri hantaran kira detik yang dikongsikan secara berkala, sekali gus mengajak orang ramai hadir memeriahkan acara berkenaan serta mendekatkan masyarakat dengan ekosistem TVET negara.
Dalam kenyataan media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis TVET Negara (MTVET) Bilangan 2/2026 semalam, beliau berkata mesyuarat berkenaan telah meneliti pelbagai agenda strategik ke arah memperkukuh ekosistem TVET negara, khususnya dalam sektor yang menjadi tunjang pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara.
Hari TVET Negara yang disambut pada 2 Jun setiap tahun bagi mengiktiraf peranan pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional sebagai pemacu pembangunan modal insan negara terus menjadi platform penting dalam memperkukuh agenda TVET MADANI yang menekankan elemen kemahiran, inovasi dan kebolehpasaran graduan.
Di bawah kerangka Malaysia MADANI, TVET tidak lagi dilihat sebagai pilihan kedua, sebaliknya diangkat menjadi agenda nasional, dengan kerajaan komited untuk memperkasakan bidang kemahiran melalui penawaran kursus yang seiring dengan keperluan teknologi semasa serta tuntutan pelaburan industri global.








