SHAH ALAM, 5 JUN: Daerah Gombak merekodkan penurunan indeks jenayah sebanyak 24 peratus bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, sekali gus membuktikan keberkesanan strategi pencegahan dan pengurusan jenayah yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata pencapaian itu turut membolehkan IPD Gombak mencapai sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) sebanyak 60 peratus yang ditetapkan.
“Pencapaian KPI daerah ini telah berjaya mencecah sasaran 60 peratus dan membuahkan hasil yang signifikan melalui penurunan indeks jenayah sebanyak 24 peratus bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini.
“Kejayaan tersebut membuktikan keberkesanan pendekatan dan strategi pengurusan jenayah yang dilaksanakan sepanjang tempoh berkenaan hasil kerjasama berterusan antara pegawai dan anggota polis dalam memperkukuh usaha pencegahan jenayah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Gombak dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Gombak di IPD Gombak semalam.
Dalam majlis itu, Shazeli turut merakamkan penghargaan kepada SAC Noor Ariffin Mohamad Nasir atas khidmat dan sumbangannya sepanjang lima tahun menerajui IPD Gombak sehingga berjaya mencatat pelbagai pencapaian membanggakan.
Beliau berkata pencapaian yang direkodkan termasuk penurunan kadar jenayah menunjukkan komitmen berterusan seluruh warga IPD Gombak dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terus terpelihara.
Pada masa sama, beliau menzahirkan keyakinan terhadap kemampuan ACP Ibrahim Husin untuk meneruskan momentum kecemerlangan pasukan berdasarkan pengalaman luas serta rekod perkhidmatannya sebelum ini.
Shazeli turut menggesa kepimpinan baharu IPD Gombak menetapkan sasaran KPI yang lebih tinggi dan terus memperkukuh usaha pencegahan jenayah bagi memastikan prestasi cemerlang dapat dikekalkan.
Majlis berkenaan menyaksikan penyerahan tugas Ketua Polis Daerah Gombak daripada Noor Ariffin kepada Ibrahim, manakala jawatan Pengerusi PERKEP Gombak diserahkan kepada Noor Azimah Mohamed Akbal.
Pada 5 Mei lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran 19 pegawai kanan termasuk Noor Ariffin yang dilantik sebagai Ketua Penolong Pengarah Pengurusan (Pentadbiran) Bukit Aman dengan memangku pangkat SAC.
Ibrahim yang sebelum ini merupakan Ketua Polis Daerah Hulu Selangor pula dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Gombak yang baharu.










