Terbuka Indonesia: Aaron-Wooi Yik terkandas di pusingan kedua

4 Jun 2026, 11:53 AM
Terbuka Indonesia: Aaron-Wooi Yik terkandas di pusingan kedua

KUALA LUMPUR, 4 JUN: Beregu lelaki utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik gagal meneruskan cabaran ke suku akhir Terbuka Indonesia 2026 selepas tewas kepada wakil tuan rumah pada pusingan kedua di Istora Senayan hari ini.

Pasangan pilihan kedua kejohanan itu bergelut mempamerkan aksi terbaik sebelum tunduk kepada Raymond Indra-Nikolaus Joaquin 14-21, 14-21 dalam tempoh 33 minit.

Bagaimanapun, Malaysia masih mempunyai wakil dalam acara beregu lelaki menerusi Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd Rumsani yang melangkah ke suku akhir selepas menewaskan pasangan England, Ben Lane-Sean Vendy, 21-11, 21-13.

Kemenangan itu merupakan yang pertama buat Sze Fei-Izzuddin ke atas gandingan England tersebut selepas tiga pertemuan sebelum ini.

Menanti pasangan negara itu di suku akhir ialah beregu India, Hariharan Amsakarunan-M.R. Arjun, yang terdahulu menyingkirkan satu lagi wakil Malaysia, Kang Khai Xing-Aaron Tai, 16-21, 21-15, 21-19.

Dalam acara perseorangan wanita, pemain nombor satu negara K. Letshanaa turut terkandas di pusingan kedua selepas tewas kepada wakil Jepun, Akane Yamaguchi, 15-21, 18-21.

Nasib sama menimpa perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao, yang gagal melepasi halangan pemain Perancis, Alex Lanier dengan keputusan 16-21, 15-21.

Wakil beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Lai Pei Jing juga menamatkan perjuangan mereka selepas tunduk kepada gandingan Thailand Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran 14-21, 22-24.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.