SHAH ALAM, 4 JUN: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengadakan lawatan tapak ke Empangan Sungai Tinggi bagi meneliti permohonan pengambilan air untuk pembangunan Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Tagar di Hulu Selangor.
Menurut LUAS, lawatan itu diadakan bersama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan pihak perunding sebagai sebahagian daripada proses penilaian teknikal bagi permohonan berkenaan.
Agensi itu berkata sesi berkenaan bertujuan mendapatkan input serta data teknikal berkaitan operasi Empangan Sungai Tinggi.
“Lawatan itu diketuai Ketua Penolong Pengarah Bahagian Perancangan dan Pembangunan, Nor Zamri Sondor serta Jurutera LUAS, Muhammad Hasif Zulkafli bersama beberapa pegawai lain turut melibatkan sesi perbincangan teknikal bersama agensi berkaitan dan pihak perunding.
“Sesi itu memberi tumpuan kepada penilaian keperluan teknikal bagi permohonan berkenaan selain melibatkan perkongsian maklumat berkaitan operasi empangan dan tinjauan keadaan semasa fasiliti terbabit,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

LUAS memaklumkan aspek berkaitan sistem pengambilan air dan implikasinya terhadap operasi sedia ada turut dibincangkan bagi memastikan pembangunan yang dirancang tidak menjejaskan pengurusan sumber air negeri.
Menurut agensi itu, perbincangan tersebut membantu menyelaras keperluan teknikal antara agensi terlibat selain memperkukuh kerjasama strategik dengan Air Selangor dan pihak perunding dalam pelaksanaan projek berkenaan.
Katanya, usaha itu penting bagi memastikan pengurusan sumber air dapat dilaksanakan secara lebih berkesan dan berterusan sekali gus menyokong kelestarian bekalan air untuk keperluan rakyat serta pembangunan negeri pada masa hadapan.








