Kadar bayaran pasport Malaysia 10 tahun RM350, OKU dapat percuma

4 Jun 2026, 8:38 AM
Kadar bayaran pasport Malaysia 10 tahun RM350, OKU dapat percuma

SHAH ALAM, 4 JUN: Rakyat Malaysia bakal menikmati pasport antarabangsa dengan tempoh sah laku sehingga 10 tahun pada kadar bayaran RM350 susulan pindaan Perintah Fi (Pasport dan Visa) 2026 yang telah diwartakan kerajaan.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Zakaria Shaaban berkata pelaksanaan kadar dan tempoh baharu itu akan diumumkan kemudian.

"Maklumat ini seperti yang diwartakan (dalam warta kerajaan). Tarikh pelaksanaan akan dimaklumkan kemudian," katanya seperti dilapor BH.

Menerusi warta kerajaan yang ditandatangani Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, warga emas berusia 60 tahun ke atas hanya dikenakan bayaran RM175 bagi pasport berkenaan.

Golongan orang kurang upaya (OKU) berumur 18 tahun ke atas yang berdaftar di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008 pula layak memperoleh pasport itu secara percuma.

Selain itu, kadar bayaran bagi penggantian pasport yang hilang atau rosak turut disemak semula.

Bagi warganegara berumur 13 hingga 59 tahun, penggantian pasport kali pertama dikenakan bayaran RM550 berbanding RM400 sebelum ini.

Penggantian kali kedua pula dikenakan RM850, manakala penggantian kali ketiga dan seterusnya ditetapkan pada kadar RM1,350.

Bagi warganegara berusia 60 tahun ke atas, kadar bayaran penggantian pasport ialah RM375 bagi kes pertama, RM675 bagi kes kedua dan RM1,175 untuk kes seterusnya.

Sementara itu, OKU berumur 18 tahun ke atas serta pegawai Imigresen yang kehilangan pasport kali pertama dikenakan bayaran RM200, RM500 bagi penggantian kedua dan RM1,000 untuk penggantian berikutnya.

Ketika ini, rakyat Malaysia dikenakan bayaran RM200 untuk pasport dengan tempoh sah laku lima tahun, manakala warga emas dikenakan kadar RM100.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.