Sabak Bernam sasar pengiktirafan Rizab Biosfera UNESCO menjelang 2027

4 Jun 2026, 8:26 AM
Sabak Bernam sasar pengiktirafan Rizab Biosfera UNESCO menjelang 2027
Sabak Bernam sasar pengiktirafan Rizab Biosfera UNESCO menjelang 2027

SABAK BERNAM, 4 JUN: Kerajaan Negeri menyasarkan untuk memperoleh pengiktirafan Rizab Biosfera UNESCO (UNESCO Biosphere Reserve, UBR) bagi Sabak Bernam menjelang 2027 sebagai sebahagian daripada usaha berterusan mengimbangi pembangunan dan pemuliharaan alam sekitar menerusi Kawasan Pembangunan Sabak Bernam (SABDA).

Ketua Pegawai Eksekutif Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Dato’ Saipolyazan M. Yusop berkata, Kerajaan Negeri sedang berusaha mendapatkan kelulusan badan antarabangsa berkaitan bagi mewartakan daerah itu sebagai rizab biosfera.

Menurut beliau, pengiktirafan tersebut tidak akan menghalang pembangunan di daerah berkenaan, sebaliknya memastikan pemeliharaan alam sekitar sambil meningkatkan daya tarikan Sabak Bernam sebagai destinasi ekopelancongan.

“Kami sedang berusaha mendapatkan kelulusan supaya Sabak Bernam dapat diwartakan sebagai rizab biosfera menjelang 2027.

“Status itu tidak akan menyekat pembangunan, sebaliknya membolehkan kita memelihara alam sekitar setempat termasuk flora dan fauna. Pada masa sama, ia dijangka menarik lebih ramai pengunjung ke Sabak Bernam,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran Pejabat Pendidikan Daerah Sabak Bernam yang baharu hari ini.

Majlis berkenaan disempurnakan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, bersempena program Gagasan Rumpun Selangor 2.0.

Sebelum ini, pada Oktober tahun lalu, Kerajaan Negeri menjalinkan kerjasama strategik dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi mendapatkan pengiktirafan UBR untuk Koridor Utara Selangor yang merangkumi Sabak Bernam serta sebahagian Kuala Selangor dan Hulu Selangor.

Kawasan tersebut menempatkan antara hutan paya terbesar di rantau ini dengan keluasan kira-kira 81,300 hektar, selain memelihara lebih 58 juta pokok paya yang berupaya menyerap dianggarkan lima juta tan karbon.

Pada November lalu, Ketua Penyelidik Pencalonan Rizab Biosfera UNESCO, Profesor Siti Azizah Mohd Nor dari UMT berkata kawasan hutan simpan seluas kira-kira 81,000 hektar di utara Selangor dijangka menjadi rizab biosfera pertama di negeri itu.

Ia meliputi Hutan Simpan Kuala Bernam, Hutan Simpan Banjar Utara, Hutan Simpan Bukit Tarek, Hutan Simpan Bukit Belata, Hutan Paya Gambut Utara Selangor dan Taman Alam Kuala Selangor.

Sekiranya berjaya, kawasan itu akan menjadi lokasi kelima di Malaysia menerima pengiktirafan UBR. Antara lokasi lain yang telah menerima status tersebut ialah Tasik Chini di Pahang (2009), Banjaran Crocker dan Kinabatangan di Sabah (2014 dan 2025), serta Bukit Bendera di Pulau Pinang (2021).

Sementara itu, Saipolyazan berkata SABDA kini memasuki fasa kedua di bawah Rancangan Selangor Kedua yang dijangka dilancarkan dalam masa terdekat, dengan fokus pembangunan tertumpu kepada memperkukuh aset dan tarikan sedia ada tanpa menjejaskan identiti serta persekitaran semula jadi daerah itu.

“Kami tidak mengubah Sabak Bernam. Sebaliknya, kami membangunkannya berdasarkan karakter sedia ada supaya pembangunan tidak memberi kesan negatif kepada alam sekitar,” katanya.

Antara inisiatif yang dilaksanakan menerusi SABDA termasuk penubuhan pusat pelabuhan pendaratan ikan di Sekinchan, program pemerkasaan pelancongan serta usaha menghidupkan semula tarikan tempatan.

Saipolyazan turut memaklumkan MBI merancang menganjurkan 12 program Jelajah SABDA sepanjang tahun ini bagi meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai inisiatif tersebut serta objektifnya.

Dalam perkembangan sama, kira-kira 200 inap desa (homestay) di daerah itu sedang melalui proses naik taraf dan penyeragaman bagi meningkatkan aspek keselamatan, keselesaan serta pematuhan terhadap garis panduan yang ditetapkan pihak berkuasa berkaitan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.