Suee Lim santuni mangsa kebakaran di Tanjung Karang, serah bantuan RM2,000

4 Jun 2026, 5:32 AM
Suee Lim santuni mangsa kebakaran di Tanjung Karang, serah bantuan RM2,000

SHAH ALAM, 4 JUN: Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan Dato' Ng Suee Lim menziarahi pemilik enam kedai di hadapan sebuah stesen minyak dekat jalan besar Tanjung Karang yang musnah dalam kebakaran malam kelmarin.

Dalam pertemuan itu, beliau turut menyampaikan bantuan RM2,000 daripada Kerajaan Negeri kepada mangsa yang terjejas.

Menurut Suee Lim, kebakaran itu melibatkan enam premis berusia kira-kira 70 tahun dan mengakibatkan hampir 90 peratus harta benda musnah.

"Antara kedai yang terjejas adalah kedai emas, (kedai) ubatan dan elektronik," katanya menerusi perkongsian video di Facebook.

Beliau berkata api mula marak sekitar jam 11.30 malam sebelum berjaya dikawal pada jam 4 pagi dan dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 8 pagi.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan Dato' Ng Suee Lim. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Bagaimanapun, katanya tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.

"Saya meninjau lokasi kejadian bersama ahli Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sekinchan, DAP Tanjung Karang dan penyelaras Parlimen Tanjung Karang.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak bomba, bomba sukarelawan dari Sekinchan serta orang ramai yang hadir membantu proses tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Suee Lim berkata beliau dimaklumkan terdapat beberapa kekangan ketika operasi pemadaman dijalankan, termasuk tekanan air yang rendah serta kekurangan peralatan bomba di Sabak Bernam dan Sekinchan.

Katanya, keadaan itu menyebabkan pasukan bomba terpaksa menggunakan bantuan lori tangki air bagi memadamkan kebakaran.

Susulan itu, beliau akan mengemukakan surat kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi memohon tambahan peruntukan untuk mendapatkan peralatan yang lebih moden dan canggih.

"Saya berharap dengan kemudahan tersebut, tindakan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat apabila berdepan musibah pada masa akan datang," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.