JPJ tahan 'ulat' tawar tambang RM530 dari KLIA ke Genting Highlands

4 Jun 2026, 5:13 AM
JPJ tahan 'ulat' tawar tambang RM530 dari KLIA ke Genting Highlands
JPJ tahan 'ulat' tawar tambang RM530 dari KLIA ke Genting Highlands

SHAH ALAM, 4 JUN: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menahan pemandu van yang dipercayai menjalankan aktiviti ‘ulat’ di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 2 Jun lalu.

Agensi itu memaklumkan tangkapan dibuat hasil intipan dan pemantauan oleh Stesen Penguatkuasa KLIA terhadap kegiatan menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram.

"Sebuah kenderaan jenis Van Cam Placer beserta pemandu telah ditahan dan disita untuk siasatan selanjutnya.

"Siasatan awal mendapati 'ulat' telah memujuk, merayu dan menawarkan perkhidmatan pengangkutan kepada lapan penumpang warganegara India dari Terminal 1 KLIA ke Genting Highlands, Pahang dengan kadar tambang sebanyak RM530 dan akan dibayar bila sampai ke destinasi," maklumnya menerusi kenyataan di Facebook.

Menurut agensi itu, mana-mana individu yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010) yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

"Sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti 'ulat' ini juga boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1), di bawah akta yang sama," tegasnya.

Justeru, orang ramai dinasihatkan menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA atau membuat tempahan menerusi aplikasi e-hailing.

Sebarang aduan trafik boleh disalurkan melalui e-mel aduantrafik@jpj.gov.my atau aplikasi e-aduan@JPJ dengan menyertakan butiran pengadu serta maklumat aduan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.