KUALA LUMPUR, 4 JUN: Kemudahan teknologi digital dan penggunaan gajet yang semakin meluas dilihat antara faktor utama yang menyumbang kepada kemerosotan budaya membaca buku fizikal dalam kalangan pelajar.
Guru, Noor Azielah Jamil, 30, berkata perkembangan itu membimbangkan kerana amalan membaca penting dalam memperluaskan ilmu pengetahuan serta merangsang perkembangan minda generasi muda.
Menurutnya, pelajar masa kini semakin kurang mengunjungi perpustakaan sekolah untuk membaca buku fizikal berbanding generasi terdahulu.

“Budaya membaca semakin menurun. Jika dilihat di perpustakaan sekolah, pelajar jarang datang untuk membaca buku fizikal seperti dahulu.
“Bagaimanapun, saya melihat ada peningkatan dalam pembacaan digital menerusi e-buku dan bahan bacaan dalam talian. Jadi, pembacaan secara fizikal menurun tetapi pembacaan dalam bentuk digital pula semakin meningkat,” kata guru Sekolah Menengah Setiabudi itu kepada Media Selangor.
Beliau ditemui di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dari 29 Mei hingga 7 Jun.
Noor Azielah berkata penggunaan gajet yang sering dikaitkan dengan gangguan terhadap tabiat membaca sebenarnya turut mempunyai kelebihan kerana mampu menarik minat golongan muda melalui kandungan yang lebih interaktif.
“Gajet sangat berguna untuk golongan muda kerana ia menawarkan pelbagai elemen interaktif seperti gambar, video dan animasi yang dapat membantu proses pembelajaran.
“Bagaimanapun, penggunaan teknologi perlu diseimbangkan dengan pembacaan bahan ilmiah supaya pelajar tidak hanya bergantung kepada kandungan ringkas yang terdapat di media sosial,” katanya.
Beliau berkata pendedahan kepada pelbagai bahan bacaan mampu memperluas pengetahuan serta membantu perkembangan pemikiran dan daya intelek pelajar.
“Lebih banyak kita membaca, lebih banyak ilmu yang diperoleh. Dengan ilmu itu, pelajar dapat mengembangkan minda serta meningkatkan tahap pemikiran mereka,” katanya.
Beliau yang kerap mengunjungi pesta buku berkata program seperti PBAKL wajar diteruskan kerana membuka peluang kepada pelajar meneroka pelbagai genre bacaan yang mungkin sukar diperoleh di tempat lain.
Katanya, golongan muda kini cenderung memilih bahan bacaan yang dekat dengan kehidupan mereka, termasuk karya berkaitan pengalaman hidup, motivasi dan isu semasa.
Sehubungan itu, Noor Azielah mencadangkan lebih banyak usaha dilakukan bagi menggalakkan minat membaca, termasuk menghasilkan ulasan dan perkongsian mengenai buku-buku menarik menerusi platform digital.
“Apabila pelajar membudayakan amalan membaca, pengetahuan mereka akan menjadi lebih luas dan mereka dapat meneroka pelbagai maklumat baharu yang mungkin tidak diperoleh melalui sumber lain.
“Sebab itu, usaha memupuk budaya membaca perlu terus diperkasakan supaya generasi muda tidak kehilangan minat terhadap amalan yang memberi banyak manfaat ini,” katanya.













