Fisioterapi pulih fungsi fizikal tubuh

4 Jun 2026, 8:00 AM
Fisioterapi pulih fungsi fizikal tubuh
Fisioterapi pulih fungsi fizikal tubuh

Ramai mengetahui tentang fisioterapi apabila berdepan kecederaan sukan, angin ahmar atau strok atau selepas menjalani pembedahan.

Padahal, bidang itu memainkan peranan jauh lebih besar dalam membantu individu mendapatkan semula fungsi fizikal, mengurangkan kesakitan dan kembali menjalani kehidupan secara normal.

Sama ada akibat penyakit kronik, kemalangan, masalah saraf mahupun faktor penuaan, kehilangan keupayaan bergerak boleh memberi kesan besar terhadap kualiti hidup seseorang.

Kaedah ini tidak hanya tertumpu kepada individu yang masih mampu bergerak. Pesakit terlantar atau sukar melakukan aktiviti harian juga boleh menjalani pemulihan mengikut kemampuan masing-masing.

Menurut Ahli fisioterapi Pusat Perubatan Red Giant Mohammad Nor Ashraff Amran, fisioterapi membantu pesakit memperoleh semula fungsi fizikal melalui gabungan kaedah rawatan yang disesuaikan dengan keadaan individu.

Namun, setiap pesakit perlu menjalani penilaian terlebih dahulu sebelum pelan rawatan dirangka bagi memastikan pendekatan yang digunakan benar-benar memenuhi keperluan mereka.

“Kita akan menggabungkan terapi manual, terapi elektro dan terapi senaman untuk membantu pergerakan pesakit menjadi lebih baik,” katanya kepada Media Selangor.

Selain itu, pesakit yang tidak mampu atau mengalami kesukaran bergerak juga dapat dipulihkan dengan rawatan yang betul.

“Kondisi seperti ini, rawatan akan bermula di atas katil dengan senaman pasif dan latihan mobiliti katil bagi mengajar mereka cara bangun dan duduk dengan betul,” katanya sambil menambah latihan perlu dibuat terlebih dahulu sebelum pesakit beralih ke fasa seterusnya.

Mohammad Nor Ashraff turut berkongsi pengalaman membantu pesakit yang sebelum ini sukar menunaikan solat akibat masalah pergerakan sebelum kembali mampu melakukan ibadah dengan lebih selesa selepas menjalani fisioterapi.

"Bila nampak ada peningkatan, kita turut berasa gembira kerana dapat memberi kepuasan apabila membantu meningkatkan kemampuan mereka untuk melakukan aktiviti ibadah dengan baik," katanya.

Kejayaan fisioterapi memerlukan kerjasama pesakit untuk meneruskan latihan yang disarankan di rumah. Sokongan ahli keluarga juga penting bagi memastikan pesakit kekal bermotivasi sepanjang proses pemulihan yang lazimnya memerlukan masa dan komitmen berterusan.

“Jika mereka kurang bergerak, risiko untuk mengalami pelbagai masalah kesihatan akan menjadi lebih tinggi,” katanya.

Pemahaman ahli keluarga mengenai rawatan yang dijalani pesakit penting bagi memastikan pesakit dibimbing dengan betul ketika melakukan program senaman di rumah.

Namun, Mohammad Nor Ashraff mengakui beberapa rawatan di pusat fisioterapi akan menggunakan beberapa peralatan khusus yang mungkin tidak tersedia di rumah.

Justeru, ahli fisioterapi akan menyediakan latihan alternatif yang mempunyai fungsi dan kesan yang hampir sama untuk dilakukan di rumah.

"Jika kami menggunakan bebanan seperti dumbbell seberat 10 kilogram, namun pesakit tidak mempunyai peralatan tersebut di rumah, mereka boleh menggantikannya dengan penggunaan getah (resistance band)."

Mohammad Nor Ashraff turut mengakui kesedaran masyarakat mengenai kepentingan fisioterapi masih rendah kerana ramai hanya mendapatkan rawatan selepas mengalami kesakitan yang serius.

“Kita boleh mulakan lebih awal dan jangan tunggu sehingga sakit baru hendak mendapatkan rawatan. Sebaiknya kita bermula sebelum rasa sakit itu muncul,” katanya yang hampir 10 tahun berkhidmat dengan Selangor FC dan Pusat Perubatan Red Giant.

Justeru, masyarakat disaran mengamal gaya hidup sihat, kekal aktif dan konsisten bersenam bagi memastikan tubuh berfungsi baik serta mengecilkan risiko isu pergerakan pada masa depan.

Ahli Fisioterapi Pusat Perubatan Red Giant, Muhammad Nor Ashraff semasa ditemu bual di Shah Alam pada 29 Mei 2026. Foto IJLAH MUNIRAH HASBUNALLAH/MEDIA SELANGOR.

Bukan tukang urut

Beliau tegas menolak tanggapan fisioterapi hanyalah urutan semata-mata. Sebaliknya, ia sebahagian kecil bidang tersebut yang merangkumi pelbagai cabang rawatan berasaskan sains termasuk muskuloskeletal, kardiorespiratori, neuromuskular dan neurologi.

Meskipun ramai percaya fisioterapi akan diambil alih teknologi seperti di negara maju tetapi ia tidak boleh dijadikan kebergantungan dalam jangka masa panjang.

"Sebagai contoh bagi kes pesakit post-stroke, terdapat rawatan awal yang menggunakan bantuan teknologi seperti robotik untuk membantu pergerakan mereka," jelasnya.

Pesakit yang kerap mendapatkan rawatan fisioterapi ialah warga emas yang mengalami masalah osteoartritis, osteoporosis dan gangguan pergerakan akibat peningkatan usia.

Terdapat beberapa tanda yang perlu diberi perhatian bagi membezakan sama ada masalah kesihatan warga emas dalam keadaan normal atau memerlukan pemeriksaan lanjut.

“Jika sakit semakin teruk seperti mengalami hilang keseimbangan badan, lemah separuh badan atau pesakit sudah dilihat sukar untuk membuat aktiviti hariannya, mereka perlu dirujuk kepada pakar untuk penilaian dan rawatan lanjut,” katanya.

Tidak dinafikan, bekerjasama dengan warga emas kadangkala mencabar. Namun bagi Mohammad Nor Ashraff, kesabaran yang tinggi kunci utama dalam mengawal emosi secara profesional.

"Dengan kesabaran, kita dapat memperoleh kepercayaan mereka dan apabila kepercayaan itu terbina secara perlahan-lahan mereka akan lebih yakin serta terbuka untuk menerima rawatan," katanya.

Mohammad Nor Ashraff juga mengakui kesedaran masyarakat terhadap bidang ini menurun. Semakin kurang generasi muda melanjutkan pelajaran dalam sains sedangkan ia cabang kerjaya yang besar.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.