Dari lahir hingga akhir hayat, Selgate bangun model kesihatan bersepadu

4 Jun 2026, 1:02 AM
Dari lahir hingga akhir hayat, Selgate bangun model kesihatan bersepadu
Dari lahir hingga akhir hayat, Selgate bangun model kesihatan bersepadu
Dari lahir hingga akhir hayat, Selgate bangun model kesihatan bersepadu

SHAH ALAM, 4 JUN: Selgate Corporation Sdn Bhd yang memberi penekanan kepada konsep penjagaan “dari lahir hingga akhir hayat” akan membangunkan kemudahan warga emas dalam masa tiga tahun.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Noor Hisham Mohd Ghouth, ia komponen utama pembangunan prasarana akan datang bagi melengkapkan model penjagaan kesihatan bersepadu.

Katanya, langkah itu dibuat ekoran permintaan khidmat penjagaan warga emas yang tersusun meningkat, didorong perubahan demografi dan keperluan jangka panjang bertambah di bandar.

“Dalam ekosistem kami, ia bermula dari lahir hingga akhir hayat. Itulah yang sedang kami bangunkan,” katanya dalam wawancara bersama Media Selangor baru-baru ini.

Justeru, beliau memberitahu Selgate pada masa ini giat membangunkan sebuah rumah penjagaan warga emas di Sepang yang dijadual siap dalam tempoh tiga tahun.

Katanya, pembinaan tersebut sebahagian strategi bagi membina ekosistem penjagaan kesihatan menyeluruh merangkumi klinik, farmasi, makmal, hospital dan penjagaan jangka panjang.

Menurut Noor Hisham, ekosistem berkenaan memberi sokongan berterusan pada setiap peringkat kehidupan seterusnya membezakan Selgate daripada pengendali kesihatan konvensional lain.

“Ada pihak memiliki hospital sahaja manakala ada yang mempunyai ekosistem sokongan kesihatan. Kami membangunkan kedua-duanya dalam satu rangkaian yang sama,” katanya.

Beliau menjelaskan agensi bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu turut memberi tumpuan terhadap satu lagi cabaran utama sektor kesihatan iaitu masalah kekurangan jururawat.

Katanya, isu kekurangan jururawat kekal menjadi kekangan operasi utama dalam mana-mana industri penjagaan kesihatan, khususnya kapasiti hospital yang semakin berkembang.

“Doktor secara umumnya ada, tetapi untuk mena-

ngani kekurangan jururawat memerlukan pelaburan jangka panjang dari segi perancangan dan latihan,” katanya.

Justeru, Selgate memperkukuh kerjasama dengan pelbagai institusi latihan termasuk Universiti Selangor (UNISEL) bagi meningkatkan bilangan tenaga kerja jururawat.

Selain itu, Kerajaan Selangor pula menyediakan peruntukan RM4.7 juta tahun ini untuk menaja kira-kira 50 pelajar kejururawatan universiti itu untuk ditempatkan ke Hospital Selgate.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.