SHAH ALAM, 4 JUN: Hampir dua bulan berlalu sejak kehilangan ketua keluarga, namun kesedihan yang ditanggung balu dan tiga anak Allahyarham Amirul Hafiz Omar masih belum reda.
Lebih memilukan, anak sulung mangsa terus dihimpit rasa bersalah yang mendalam atas tragedi yang meragut nyawa bapanya.
Balu mangsa, Nor Nadia Abdul Majid, 32, berkata Muhammad Aqif Amsyar, 9, sering menyalahkan dirinya kerana percaya kemalangan yang meragut nyawa bapanya pada 29 Mac lalu berlaku ketika Allahyarham dalam perjalanan membeli buku Matematik untuknya.
"Dia asyik menyalahkan diri susulan kejadian itu. Dia juga mengaku tidak lagi gembira dan hidup sudah tidak sama tanpa papa (Amirul Hafiz).
"Bahkan, dia berkata dirinya lebih rela mati. Dia rasa bertanggungjawab kerana arwah ditimpa kemalangan ketika sedang menguruskan keperluannya.
"Namun, saya sentiasa mengingatkannya bahawa itu bukan salah dia, sebaliknya pemandu kereta terbabit yang bertanggungjawab atas apa yang berlaku," katanya seperti dilapor BH.
Nor Nadia berkata, keluarganya masih berusaha menerima kehilangan mengejut Allahyarham yang meninggalkan kesan mendalam kepada mereka sekeluarga.
"Kami bukan lagi keluarga bahagia seperti dulu," katanya sambil berlinangan air mata.
Menurutnya, anak kedua mereka, Muhammad Afif Izz Rayqal, 7, turut menunjukkan kerinduan terhadap bapanya setiap kali melihat barang-barang peninggalan arwah.
"Malah pernah satu hari, anak kedua bertanya kepada saya: 'Adakah saya perlu membayar apa-apa untuk berjumpa dengan papa?'" katanya.
Dalam kejadian 29 Mac lalu, Amirul Hafiz yang bekerja sebagai penghantar barang maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Raya Barat, Klang.
Susulan tragedi itu, Nor Nadia bersama tiga anak mereka termasuk anak bongsu, Nur Humaira, 2, mengambil keputusan berpindah ke Perak bagi mendapatkan sokongan ahli keluarga terdekat.
Semalam, beliau hadir di Kompleks Mahkamah Klang bagi mengikuti prosiding sebutan kes melibatkan juruteknik, R Saktygaanapathy, 28, yang didakwa atas pertuduhan membunuh Amirul Hafiz serta mengambil dadah.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 11.47 pagi, 29 Mac lalu di Jalan Raya Barat.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes berkenaan berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.







