Jangan panik jika sesat, ikut langkah 'STOP' ketika mendaki

3 Jun 2026, 2:28 PM
Jangan panik jika sesat, ikut langkah 'STOP' ketika mendaki

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Pendaki yang menyedari mereka tersasar dari laluan asal dinasihatkan agar tidak panik atau terus berjalan tanpa arah tuju, sebaliknya perlu mengamalkan formula “STOP” bagi meningkatkan peluang untuk diselamatkan.

Ketua Jabatan Pengurusan Keselamatan Hartanah Sime Darby Property Berhad Mejar Hairulnizam Samuri berkata formula itu merujuk kepada Sit (duduk), Think (berfikir), Observe (memerhati) dan Plan (merancang) yang merupakan prosedur asas ikhtiar hidup di dalam hutan.

“Apabila sedar sudah tersasar, berhenti berjalan dan duduk (Sit) serta-merta. Sekiranya terus berjalan, kebarangkalian kita semakin jauh tersesat adalah lebih tinggi.

“Dengan duduk dan bertenang, kita dapat mengawal hormon adrenalin daripada melonjak dan seterusnya membantu kita untuk berfikir secara waras,” katanya semasa menjadi tetamu Program Jendela Fikir membincangkan topik Pendakian Selamat, Pengalaman Bermakna terbitan Bernama Radio di Wisma Bernama di sini hari ini.

Mengenai elemen ‘Think’, Hairulnizam berkata ia melibatkan usaha mengimbas kembali laluan yang telah dilalui termasuk kedudukan terakhir penanda trek, arah perjalanan dan bentuk muka bumi sebelum menyedari diri tersesat.

Beliau berkata langkah seterusnya adalah memerhati (Observe) keadaan sekeliling bagi memastikan kawasan berkenaan selamat, selain mengenal pasti sumber sedia ada seperti bekalan makanan, air, ubat-ubatan dan peralatan kecemasan.

“Apabila kita mengetahui sumber yang masih dimiliki, kita boleh membuat perancangan (Plan) yang lebih baik dan realistik berdasarkan situasi semasa,” katanya.

Hairulnizam yang juga veteran Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) turut menasihati pendaki supaya tidak meneruskan perjalanan dalam keadaan gelap bagi mengelak risiko kecederaan serta kehilangan arah yang lebih serius.

Mengulas faktor yang sering menyebabkan pendaki sesat, beliau berkata perubahan cuaca mendadak seperti hujan lebat dan kabus tebal serta masalah komunikasi dalam kumpulan merupakan antara punca utama.

Selain itu, faktor kesihatan seperti keletihan melampau, kekejangan otot, kecederaan dan panik juga boleh menyebabkan seseorang hilang fokus sehingga tersasar daripada laluan asal.

Beliau berkata disiplin dalam kumpulan juga penting termasuk mematuhi arahan ketua ekspedisi, penunjuk arah dan sweeper (pendaki terakhir) bagi mengelakkan peserta tercicir.

Bagi memudahkan operasi pasukan mencari dan menyelamat (SAR), Hairulnizam menasihatkan mangsa supaya kekal di lokasi yang selamat dan terbuka jika mahu dikesan di udara.

“Mereka boleh membuat isyarat dengan membentangkan kain khemah atau pakaian berwarna terang, membentuk simbol SOS menggunakan batu atau kayu, serta menggunakan asap dan pantulan cahaya daripada cermin.

“Bagi pencarian di darat pula, pendaki boleh meninggalkan petunjuk seperti tanda anak panah, patahan ranting atau kesan pada pokok bagi memudahkan pasukan penyelamat mengesan laluan mereka,” katanya.

Menyentuh aspek persediaan sebelum mendaki, Hairulnizam berkata setiap pendaki perlu membawa peralatan asas termasuk wisel kecemasan, pisau poket, kit kecemasan, pemetik api serta bekalan makanan dan air kecemasan.

“Hutan tidak pernah kejam kepada mereka yang bersedia, tetapi ia boleh menghukum mereka yang alpa dan memandang ringan aspek keselamatan,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.