SHAH ALAM, 3 JUN: Selangor terus memperkukuh agenda mobiliti hijau apabila kajian komprehensif bagi mengenal pasti 500 lokasi baharu pemasangan stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) di seluruh negeri dijangka siap menjelang pertengahan 2027.
Ketua Tenaga Baharu Worldwide Holdings Berhad (WHB), Vivekananthen Sreedaran berkata kajian yang baru dimulakan itu kini berada pada tahap lima peratus dan sedang dipercepatkan bagi memastikan sasaran pembangunan infrastruktur EV dapat direalisasikan.
Menurut beliau, setiap lokasi yang dicadangkan pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu melalui penilaian menyeluruh bagi memastikan kesesuaian sebelum pembangunan stesen pengecas dilaksanakan.
“Kita perlu meneliti setiap lokasi secara menyeluruh termasuk jaraknya dengan stesen pengecas EV sedia ada serta bagaimana WHB boleh membantu menambah baik kemudahan yang diperlukan.
“Kita juga tidak mahu kemudahan ini tertumpu di kawasan tertentu sahaja. Permintaan di kawasan luar bandar seperti Hulu Selangor dan Sabak Bernam turut diberi perhatian,” katanya memetik laporan The Star.
Beliau berkata jumlah stesen pengecas yang bakal dibangunkan di setiap kawasan masih belum dapat ditentukan kerana terdapat kemungkinan sebahagian lokasi yang dicadangkan tidak memenuhi keperluan teknikal atau operasi.
Sebelum ini, beberapa lokasi telah dikenal pasti dan dicadangkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Pada masa sama, Vivekananthen berkata aspek bekalan elektrik menjadi antara faktor utama yang perlu diberi perhatian, khususnya bagi pembangunan pengecas arus terus (DC) yang menawarkan tempoh pengecasan lebih pantas dan lazimnya ditempatkan di kawasan tumpuan awam.
Sehubungan itu, WHB turut meneroka beberapa penyelesaian alternatif termasuk penggunaan sistem penyimpanan tenaga berasaskan bateri bagi mengatasi kekangan bekalan elektrik di lokasi tertentu.
Dalam usaha mempercepat pembangunan infrastruktur EV, MBSA kini sedang merangka garis panduan baharu bagi menyeragamkan prosedur permohonan pemasangan stesen pengecas EV di seluruh PBT di Selangor.
Sebanyak empat sesi libat urus dan perbincangan kumpulan fokus telah diadakan melibatkan pelbagai pemain industri, dengan hasil perbincangan itu akan dirumuskan dalam satu kertas cadangan untuk dibentangkan kepada Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES).
Menurut MBSA, garis panduan tersebut akan memberi tumpuan kepada penambahbaikan proses permohonan termasuk prosedur operasi, senarai semak, kadar sewaan, pelesenan serta aspek penguatkuasaan bagi memastikan pelaksanaan pembangunan stesen pengecas EV lebih cekap dan tersusun.
Bagaimanapun, garis panduan baharu itu tidak akan menggantikan garis panduan pembangunan stesen pengecas EV yang dikeluarkan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), yang telah diterima pakai oleh Selangor sejak Disember 2023.






