SHAH ALAM, 3 JUN: Seorang pesara awam berputih mata apabila wang simpanan persaraannya yang mencecah hampir RM100,000 lesap selepas menyertai pelaburan tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata mangsa lelaki berusia 59 tahun itu tertarik dengan tawaran pelaburan melalui iklan di aplikasi TikTok pada 14 Mei lalu, lapor Berita Harian.
“Mangsa berhubung dengan sindiket melalui aplikasi Telegram dan membuat transaksi bagi menyertai pelaburan yang ditawarkan.
"Selepas menyertai pelaburan itu mangsa diberitahu sudah untung. Bagi menebus keuntungan, dia diminta membuat beberapa lagi transaksi dalam beberapa akaun berbeza,” katanya.
Beliau berkata mangsa membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu jam 8.24 malam semalam.
“Akibat terpedaya mangsa kerugian keseluruhan RM97,933 wang simpanan pencen,” katanya.








