SHAH ALAM, 3 JUN: Anak yang tiba-tiba menjadi lebih berahsia, kelihatan cemas apabila menerima mesej atau enggan menunjukkan telefon kepada ibu bapa mungkin sedang berdepan buli siber, gangguan atau ancaman digital lain.
Pakar Psikologi Kanak-Kanak dan Saksi Pakar Mahkamah di CPC International, Dr Noor Aishah Rosli berkata perubahan tingkah laku itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia berkemungkinan berpunca daripada pengalaman kurang menyenangkan yang dialami di alam maya.
Menurut beliau, ramai ibu bapa masih beranggapan anak mereka selamat kerana berada di rumah, sedangkan pelbagai ancaman seperti buli siber, pemerasan, gangguan seksual dan eksploitasi dalam talian boleh berlaku melalui telefon pintar serta media sosial.
"Ramai ibu bapa merasakan anak mereka selamat kerana berada di dalam rumah. Tetapi mereka tidak sedar ancaman digital boleh berlaku 24 jam sehari melalui telefon pintar, tablet dan media sosial.
"Berbeza dengan buli di sekolah yang biasanya berhenti apabila anak pulang ke rumah, buli siber boleh berterusan siang dan malam sehingga memberi kesan besar terhadap emosi dan kesihatan mental mangsa," katanya kepada Media Selangor.
Noor Aishah berkata antara tanda awal yang perlu diberi perhatian ialah perubahan emosi seperti mudah marah, cepat tersinggung, murung atau kelihatan sentiasa resah tanpa sebab yang jelas.

Beliau berkata sesetengah kanak-kanak turut menunjukkan perubahan tingkah laku apabila mula mengasingkan diri, kurang berminat menyertai aktiviti keluarga atau lebih gemar bersendirian berbanding kebiasaan.
"Ada juga anak yang tiba-tiba takut untuk menggunakan telefon atau media sosial walaupun sebelum ini sangat aktif.
"Mereka mungkin sedang berdepan ugutan, gangguan atau pengalaman tidak menyenangkan yang tidak diketahui ibu bapa," ujarnya.
Menurutnya, gangguan tidur, mimpi buruk, kesukaran memberi tumpuan ketika belajar dan kemerosotan prestasi akademik juga antara petanda yang tidak boleh dipandang ringan.
Mengulas lanjut, Noor Aishah berkata kanak-kanak yang menjadi mangsa ancaman siber lazimnya lebih berahsia dan enggan berkongsi apa yang berlaku kepada mereka.
"Jika anak yang sebelum ini banyak bercerita tiba-tiba menjadi sangat tertutup, tidak membenarkan ibu bapa melihat telefonnya atau kelihatan cemas setiap kali menerima mesej, itu antara petanda yang perlu disiasat dengan lebih lanjut.
"Ibu bapa perlu segera berkomunikasi dengan anak secara terbuka dan memahami apa yang sedang mereka lalui, bukannya terus menghukum atau memarahi mereka," katanya yang juga Psikologis Pelawat di Salam Senawang Specialist Hospital.
Beliau turut menegaskan kanak-kanak hari ini sering menerima telefon pintar sebelum mempunyai pengetahuan mencukupi mengenai keselamatan digital.
Katanya, pendidikan mengenai keselamatan dalam talian perlu diberikan sejak kecil termasuk mengajar anak supaya tidak berkongsi maklumat peribadi, alamat rumah, nombor telefon atau gambar yang boleh mendedahkan identiti mereka kepada individu tidak dikenali.

Pada masa sama, beliau mengingatkan ibu bapa supaya menetapkan had penggunaan gajet, memantau aplikasi yang digunakan serta meluangkan lebih banyak masa melakukan aktiviti bersama keluarga bagi mengurangkan kebergantungan anak kepada media sosial.
"Matlamat kita bukan untuk mengawal anak sepanjang masa tetapi membimbing mereka menjadi pengguna digital yang bijak, selamat dan bertanggungjawab.
"Paling penting, anak perlu merasakan rumah adalah tempat paling selamat untuk mereka berkongsi masalah tanpa takut dimarahi atau dihukum," katanya.
Bermula 1 Jun lalu, Malaysia menguatkuasakan syarat pengesahan umur bagi pendaftaran dan pembukaan akaun media sosial untuk memastikan individu berusia bawah 16 tahun tidak lagi dibenarkan membuka akaun media sosial.
Bagi pengguna sedia ada, pengesahan umur akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh sehingga enam bulan oleh penyedia perkhidmatan media sosial yang berkaitan.
Menerusi peraturan baharu itu, pengguna yang ingin mendaftar akaun diwajibkan mengemukakan dokumen pengenalan rasmi yang dikeluarkan kerajaan seperti MyKad, pasport atau MyDigital ID sebagai pengesahan umur.
Keperluan pengesahan umur itu terpakai kepada perkhidmatan media sosial berlesen termasuk Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.








