KUALA LUMPUR, 3 JUN: Langkah pengesahan umur pengguna media sosial yang dikuatkuasakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) disifatkan sebagai pendekatan terbaik dalam usaha melindungi kesihatan mental kanak-kanak dan remaja.
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan mekanisme itu wajar disokong kerana bukan sahaja membantu menjaga kesejahteraan mental golongan muda, malah meningkatkan kemampuan mereka menghadapi cabaran masa hadapan.
“Langkah pengesahan umur oleh SKMM adalah satu pendekatan yang baik dan wajar diberikan sokongan kerana ia memberi suntikan kepada aspek kesihatan mental.
“Kawalan yang cuba dilakukan kerajaan bukan sahaja memelihara kesihatan mental, tetapi juga menjaga kemampuan dan kecekalan generasi muda untuk menghadapi pelbagai cabaran,” katanya kepada Media Selangor di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, semalam.
Amirudin berkata beberapa negara maju turut melaksanakan pendekatan serupa dengan mengenakan sekatan tertentu terhadap penggunaan media sosial dalam kalangan golongan muda.

“Negara seperti Australia telah mula melaksanakan sekatan terhadap penggunaan media sosial kerana kesannya yang boleh mengganggu tumbesaran minda generasi muda.
“Isu ini turut menjadi perhatian yang saya sering bangkitkan sepanjang tahun lepas termasuk merujuk kepada pandangan dan kajian yang diketengahkan dalam buku The Anxious Generation tulisan Jonathan Haidt,” ujarnya.
Kelmarin, SKMM memaklumkan bermula 1 Jun 2026, semua penyedia perkhidmatan media sosial berlesen perlu memastikan hanya pengguna berumur 16 tahun dan ke atas dibenarkan mendaftar akaun serta mengakses ciri perkhidmatan yang bersesuaian dengan umur mereka.
Bagi pengguna sedia ada, proses pengesahan umur akan dilaksanakan secara berperingkat dalam tempoh sehingga enam bulan oleh penyedia perkhidmatan media sosial berkaitan.
SKMM memaklumkan pengguna sedia ada yang dikenal pasti berumur bawah 16 tahun akan diberikan tempoh sebulan untuk memuat turun atau memindahkan data mereka, termasuk gambar dan video, sebelum sebarang sekatan, penggantungan atau tindakan lain dikenakan.
Keperluan pengesahan umur itu melibatkan semua platform media sosial berlesen termasuk Facebook, Instagram, TikTok dan YouTube.








