SHAH ALAM, 2 JUN: Warga emas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya berpeluang mendapatkan vaksin selesema pada kadar serendah RM30 menerusi program khas yang akan diadakan di Balai Masyarakat USJ2 pada 13 Jun ini.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Subang Jaya Michelle Ng Mei Sze berkata keutamaan akan diberikan kepada pengundi berusia 60 tahun ke atas serta individu yang mempunyai penyakit komorbiditi.
Menurutnya, program berkenaan akan berlangsung dari jam 9 pagi hingga 3 petang.
"Lindungi diri anda dan orang tersayang. Vaksinasi selesema kini ditawarkan pada kadar RM30 bagi setiap suntikan untuk penduduk DUN Subang Jaya," katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau berkata, program itu dianjurkan dengan kerjasama SUKA, Poliklinik Medi Ihsan, Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 4 dan SU-SU-BE.
"Tempat adalah terhad dan diberikan mengikut prinsip siapa cepat dia dapat. Daftar awal untuk mendapatkan tempat anda," katanya.
Orang ramai yang berminat boleh membuat pendaftaran menerusi pautan yang disediakan di Facebook rasmi Michelle Ng Mei Sze atau dengan mengimbas kod Respons Pantas (QR) pada poster program.








