Ops Kesan 6.0: KPDN Selangor semak 46 jenis barangan, keluarkan sembilan notis

2 Jun 2026, 5:30 AM
Ops Kesan 6.0: KPDN Selangor semak 46 jenis barangan, keluarkan sembilan notis
Ops Kesan 6.0: KPDN Selangor semak 46 jenis barangan, keluarkan sembilan notis
Ops Kesan 6.0: KPDN Selangor semak 46 jenis barangan, keluarkan sembilan notis
Ops Kesan 6.0: KPDN Selangor semak 46 jenis barangan, keluarkan sembilan notis
Ops Kesan 6.0: KPDN Selangor semak 46 jenis barangan, keluarkan sembilan notis

SHAH ALAM, 2 JUN: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor mengeluarkan sembilan notis kepada peniaga pada hari pertama pelaksanaan Ops Kesan 6.0 bagi membendung aktiviti pencatutan dan memantau kenaikan harga barangan yang tidak munasabah.

Pengarah KPDN Selangor, Muhamad Hanif Asa'ari berkata notis itu dikeluarkan selepas pemeriksaan terhadap pelbagai barangan keperluan harian pengguna di seluruh negeri.

Menurutnya, notis di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 (Akta 723) itu bertujuan mendapatkan maklumat terperinci berkaitan harga serta kos barangan yang diperiksa.

“Pengeluaran notis ini juga bertindak sebagai langkah intervensi dan peringatan kepada peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak munasabah,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Beliau berkata Ops Kesan 6.0 yang bermula semalam akan dilaksanakan hingga 31 Ogos 2026 melibatkan semua pejabat KPDN Selangor termasuk Shah Alam, Petaling Jaya, Gombak, Kajang, Sepang, Kuala Selangor dan Kuala Kubu Bharu.

Pada hari pertama operasi, sebanyak 46 jenis barangan keperluan harian diperiksa di pasar raya dan kedai runcit di beberapa daerah seluruh Selangor.

Antara barangan yang diberi tumpuan ialah sayur-sayuran seperti sawi, kailan, timun, tomato dan cili merah selain ayam, telur ayam serta produk pembungkusan plastik.

Dalam masa sama, pemantauan di peringkat peruncit dipertingkatkan berikutan faktor pasca musim perayaan dan cuti persekolahan.

Muhamad Hanif berkata pemeriksaan akan diperluaskan ke seluruh rantaian perniagaan termasuk pengeluar, pengilang, penternak, peladang, pengedar dan pemborong sepanjang tempoh operasi.

Menurutnya, Ops Kesan 6.0 dilaksanakan susulan kebimbangan terhadap ketidaktentuan bekalan global serta peningkatan harga minyak mentah dunia yang berpotensi mempengaruhi kos operasi dan harga barangan di pasaran.

KPDN memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan pencatutan mengikut peruntukan Akta 723.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti manipulasi harga boleh membuat aduan melalui WhatsApp, portal e-Aduan, talian bebas tol 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.