SHAH ALAM, 2 JUN: Dusun Tua semakin mendapat perhatian sebagai destinasi ekopelancongan di Selangor susulan keindahan alam semula jadi yang dimiliki termasuk sungai, air terjun dan kawasan rekreasi.
Wakil rakyatnya Datuk Wira Johan Abdul Aziz berkata lokasi seperti Sungai Congkak, Sungai Gabai dan Gunung Nuang terus menerima kunjungan ramai terutama pada hujung minggu dan musim cuti sekolah.
Menurutnya, perkembangan sektor pelancongan itu turut memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat menerusi perniagaan kecil, tapak perkhemahan dan penginapan.
“Dusun Tua kaya dengan alam semula jadi seperti sungai, air terjun, kawasan bukit bukau dan kini kawasan ‘campsite’ dan resort juga semakin bertambah, itu menjadi tarikan dan tumpuan pengunjung,” katanya dalam program SKOP terbitan Media Selangor.
Bagaimanapun, Johan berkata pembangunan sektor pelancongan perlu dirancang secara mampan supaya tidak menjejaskan keseimbangan alam sekitar.
Katanya, sebarang aktiviti penerokaan tanah atau pembangunan di kawasan berbukit perlu mendapatkan pandangan dan nasihat pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi mengelakkan risiko kerosakan alam sekitar termasuk banjir lumpur.
“Ada kes penerokaan tanah di kawasan bukit menyebabkan air merah dan lumpur turun ke jalan raya serta kampung berhampiran.
“Walaupun tanah itu milik persendirian, kerja tanah dan pembangunan perlu mendapatkan nasihat PBT kerana kesannya boleh menjejaskan penduduk di bawah,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan keperluan menaik taraf infrastruktur khususnya jaringan jalan raya susulan pertambahan penduduk dan pelancong.
Menurut Johan, isu kesesakan lalu lintas terutama pada waktu puncak kini menjadi antara rungutan utama penduduk berikutan keadaan jalan sempit selain pertambahan kenderaan berat.
“Jalan utama di Dusun Tua memang perlu dilebarkan kerana banyak sekolah berada di tepi jalan dan risiko kemalangan juga tinggi.
“Saya berharap projek pelebaran jalan dari Batu 9 hingga Batu 14 Hulu Langat dapat disegerakan bagi melancarkan pergerakan penduduk serta pengunjung,” ujarnya.









