Nahas maut empat sekeluarga berpunca dua kereta mewah pandu laju, melulu

2 Jun 2026, 12:30 AM
Nahas maut empat sekeluarga berpunca dua kereta mewah pandu laju, melulu
Nahas maut empat sekeluarga berpunca dua kereta mewah pandu laju, melulu

SHAH ALAM, 2 JUN: Kemalangan yang meragut nyawa empat sekeluarga di Jalan Renggam-Kluang, tengah hari semalam dipercayai berpunca daripada tindakan dua pemandu kereta mewah yang memandu secara laju dan melulu.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, siasatan mendapati sebuah BMW 530e yang dipandu lelaki berusia 22 tahun sedang dalam perjalanan dari bandar Kluang menghala ke Simpang Renggam.

Menurutnya, kereta itu dipandu secara laju dan melulu bersama sebuah Mercedes-Benz A250 yang dipandu remaja lelaki berusia 19 tahun.

“Polis menerima laporan kemalangan pada jam 1.15 tengah hari membabitkan lima kenderaan. Siasatan mendapati BMW 530e itu hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh empat kenderaan.

“BMW 530e terbabit merempuh sebuah Perodua Alza, Toyota Vios, Proton Wira dan sebuah lagi Mercedes-Benz yang bergerak dari arah bertentangan. Selepas itu, kenderaan berkenaan terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung di seberang jalan.

“Akibat rempuhan tersebut, pemandu Toyota Vios berusia 36 tahun dan isterinya berusia 33 tahun maut. Turut terkorban seorang wanita berusia 73 tahun serta kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.

“Kesemua mangsa meninggal dunia akibat kecederaan parah pada kepala dan badan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bahrin berkata, pemandu BMW 530e turut meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

Beliau berkata, dua penumpang Perodua Alza iaitu kanak-kanak lelaki dan perempuan masing-masing berusia 11 dan tujuh tahun mengalami kecederaan di kepala dan kini dirawat di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang.

“Pemandu Perodua Alza berusia 43 tahun pula cedera di kaki. Pemandu Proton Wira berusia 22 tahun mengalami kecederaan di mulut, manakala pemandu Mercedes-Benz, wanita berusia 57 tahun, cedera ringan.

“Semua mangsa yang cedera menerima rawatan di hospital sama dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Susulan kejadian itu, Bahrin berkata, polis menahan pemandu Mercedes-Benz A250 serta merampas kenderaan terbabit bagi membantu siasatan.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah. Permohonan reman akan dibuat hari ini mengikut Seksyen 42(1) akta sama kerana memandu secara melulu dan membahayakan pengguna jalan raya lain.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kemalangan ini diminta menghubungi balai polis berhampiran atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang di talian 07-7784222, 07-7766822 (hotline), 07-7784256 atau 014-365682,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.