SHAH ALAM, 2 JUN: Dua penghuni sebuah rumah teres dua tingkat ditemui tidak sedarkan diri selepas kediaman mereka terbakar di Jalan Ehsan Jaya 3/10, Taman Ehsan Jaya, Johor Bahru, malam tadi.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Johor berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.06 malam.
“Seramai 14 anggota termasuk sebuah 'fire rescue tender' (FRT), sebuah 'light fire rescue tender' (LFRT), pasukan perubatan kecemasan (EMRS) dan sebuah pacuan empat roda dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Tebrau dan Kempas ke lokasi kejadian.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada pukul 9.12 malam dan kebakaran dapat dikawal pada jam 10.05 malam. Kejadian memusnahkan kira-kira 60 peratus keseluruhan rumah.
"Anggota Bomba menemukan dua mangsa dipercayai remaja dalam keadaan tidak sedarkan diri di tingkat atas rumah,” maklumnya menerusi kenyataan.
Katanya, pasukan Perkhidmatan Menyelamat Perubatan Kecemasan (EMRS) segera memberikan bantuan pernafasan kardio pulmonari (CPR) sebelum mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI) untuk mendapatkan rawatan lanjut.








