SHAH ALAM, 2 JUN: Perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara percuma di laluan Ampang/Sri Petaling diteruskan hari ini, kerana kerja baik pulih masih dijalankan susulan insiden transit aliran ringan (LRT) tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin.
Rapid Rail emaklumkan langkah itu diambil bagi memastikan kelancaran perjalanan penumpang sepanjang tempoh kerja penyelenggaraan berjalan.
Katanya, tren dari Sentul Timur akan berpatah balik di Stesen Pudu dengan kekerapan setiap empat minit.
“Bagi laluan Ampang, tren perantara akan beroperasi antara Ampang dan Maluri di Platform 2 dengan kekerapan enam minit, manakala tren perantara antara Maluri dan Chan Sow Lin di Platform 1B dan 2B akan beroperasi setiap lapan minit.
“Sementara itu, tren dari Putra Heights akan berpatah balik di Stesen Bandar Tasik Selatan dengan kekerapan enam minit,” katanya dalam kenyataan semalam.
Perkhidmatan tren perantara antara Bandar Tasik Selatan dan Cheras di Platform 1 serta antara Cheras dan Pudu di Platform 1 turut disediakan dengan kekerapan lapan minit.
"Selain itu, bas perantara percuma akan beroperasi antara Hang Tuah, Cheras dan Pandan Jaya dengan kekerapan antara 15 hingga 20 minit, bergantung kepada keadaan trafik semasa.
"Penumpang dinasihatkan supaya merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan rel alternatif yang bersesuaian bagi mengurangkan sebarang kesulitan," katanya.
Orang ramai yang memerlukan bantuan turut diminta mendapatkan maklumat lanjut daripada pegawai stesen atau Polis Bantuan yang bertugas.
Pada Khamis, sebuah tren Laluan Ampang/Sri Petaling tergelincir berhampiran Stesen Chan Sow Lin akibat kerosakan pada suis landasan yang menjejaskan jadual perkhidmatan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata landasan yang terjejas dijangka dapat beroperasi semula selewat-lewatnya pada Rabu depan.
Beliau turut memaklumkan semua stesen di Laluan Ampang/Sri Petaling kekal beroperasi, namun menggunakan jadual perkhidmatan yang diubah suai, bagi memastikan pergerakan tren dapat diteruskan sepanjang tempoh kerja pemulihan dijalankan.








